Utama Berita Automotif Kegagalan paip pembentungan punca lubang benam Jalan Masjid India

Kegagalan paip pembentungan punca lubang benam Jalan Masjid India

13

Kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput akibat tindak balas kimia dan ketidakstabilan tanah dikenal pasti sebagai punca utama kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada Ogos tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata hasil siasatan pasukan khas diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati insiden itu tidak berpunca daripada kewujudan lapisan batu kapur di bawah tanah seperti yang dibimbangi orang ramai.

“Lokasi kejadian terletak di atas Formasi Kenny Hills dan didasari batuan syis, manakala lapisan batu kapur hanya ditemukan pada kedalaman 60 hingga 70 meter. Oleh itu, insiden berkenaan tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan batu kapur.

“Rumusan daripada pasukan khas juga mendapati kegagalan struktur paip pembetungan yang telah mereput akibat tindakan balas kimia serta ketidakstabilan tanah antara faktor utama yang menyebabkan terbentuknya rongga di bawah struktur pejalan kaki, yang akhirnya mencetuskan insiden lubang benam itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Pencarian mangsa tanah jerlus Masjid India

Beliau menjawab soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin mengetahui status terkini laporan insiden lubang benam di Jalan Masjid India.

Pada 23 Ogos tahun lepas, seorang wanita dikenali G. Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.

Dr Zaliha berkata laporan penuh hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Ogos lepas, manakala laporan khas untuk bacaan umum akan diterbitkan DBKL pada akhir tahun ini bagi memberi penjelasan lanjut kepada masyarakat.

Beliau berkata DBKL kini melaksanakan kajian geoteknikal di jalan-jalan utama sekitar Segitiga Emas Kuala Lumpur bagi mengenal pasti profil serta kestabilan tanah menggunakan kaedah seperti Radar Penembusan Tanah (GPR), Pengesanan dan Jarak Cahaya (LiDAR) dan Radar Aperture Sintetik Interferometri (InSAR).

“Dapatan awal menunjukkan tiada kawasan yang berisiko tinggi untuk kejadian lubang benam. Kajian ini penting bagi memastikan keselamatan infrastruktur di kawasan pusat bandar dan zon penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Yusuf yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem amaran awal atau pemantauan berasaskan geoteknikal ataupun teknologi kecerdasan buatan (Al) bagi mengesan risiko lubang benam di kawasan berpenduduk padat di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Dr Zaliha turut memaklumkan hasil pengalaman daripada insiden berkenaan, kerajaan kini membentuk Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang lebih berwibawa bagi memastikan tindakan pantas dan berkesan sekiranya kejadian seumpama itu berulang.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here