
Kerajaan Jepun memberi amaran kepada Vietnam bahawa langkah untuk mengharamkan motosikal berkuasa petrol di Hanoi akan menyebabkan kesan yang buruk kepada pasaran bernilai $4.6 bilion (RM19.44 bilion) itu.
Pada bulan Julai lalu, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh menyuarakan arahan untuk mengharamkan motosikal petrol daripada memasuki pusat bandar bermula pertengahan 2026 bagi mengurangkan kesan pencemaran.
Pengharaman itu akan diperluas ke beberapa lokasi di negara itu menjelang tahun 2028.
Sebagai respons kepada perubahan tersebut, pihak kedutaan Jepun di Hanoi menghantar surat kepada pihak berkuasa Vietnam dengan menyatakan pengharaman secara tiba-tiba akan memberikan kesan kepada industri sokongan seperti pengedar motosikal dan pembekal alat ganti.
Pihak kedutaan juga menggesa pihak berkuasa Vietnam untuk mempertimbangkan langkah elektrifikasi yang sewajarnya termasuklah tempoh persediaan dan pelaksaan berperingkat.
Dalam bulan yang sama, Honda, Yamaha dan Suzuki turut menghantar surat amaran masing-masing kepada Hanoi.
Dalam surat tersebut, mereka menyebut pengharaman motosikal ICE akan memberikan gangguan kepada produksi dan risiko bangkrap kepada pembekal, pengedar, dan pengeluar alat ganti yang mampu memberikan kesan kepada ribuan pekerja.
Vietnam merupakan salah satu pasaran motosikal dua roda terbesar di dunia, dengan jumlah pendaftaran motosikal pada tahun lalu mencecah 80 peratus daripada jumlah populasi negara seramai 100 juta orang.
Honda menguasai 80 peratus pasaran motosikal Vietnam, dengan jumlah jualan sebanyak 2.6 juta unit direkodkan pada tahun lalu.



