
Kebanyakan pengeluar mempunyai versi sistem bantuan pemandu termaju yang tersendiri.
Jika Tesla mempunyai Full Self-Driving, General Motors pula mempunyai sistem yang dikenali sebagai Super Cruise.
Menurut GM, Super Cruise kini mempunyai lebih 500,000 orang pengguna, di mana mereka menyasarkan angka tersebut meningkat kepada 600,000 orang menjelang akhir tahun ini dan pendapatan melebih $200 juta (RM845 juta).
Super Cruise membenarkan pemandu untuk menikmati pemanduan bebas tangan di jaringan lebuh raya sejauh 1.2 juta kilometer di Amerika Syarikat dan Kanada.
Salah satu perkara menarik yang disebut oleh GM dalam laporan pendapatan suku ketiga ialah kadar kemalangan yang rendah.
Menurut GM, kereta-kereta yang dilengkapi dengan ciri Super Cruise telah dipandu sejauh lebih 1.1 bilion kilometer dengan sifar pelanggaran dicatatkan.
Ciri Super Cruise diperkenalkan pada tahun 2017 menerusi model Cadillac CT6, dan hanya boleh digunakan pada jaringan lebuh raya sepanjang 322 ribu kilometer.
Kini, ciri tersebut tersedia pada hampir semua kenderaan baharu GM, dan model tahun 2026 akan dilengkapi dengan mod pemanduan bebas tangan pada seksyen jalan yang serasi dengan sistem tersebut.
































