
Stesen BHPetrol Bandar Tun Razak pada asalnya beroperasi di bawah jenama BP sejak tahun 1996 hingga 2005, sebelum beralih kepada BHPetrol pada 14 Februari 2006, kini datang dengan imej baharu.
Kini, stesen itu terus beroperasi di bawah jenama lokal, BHPetrol dengan menyediakan minyak BHPetrol Infiniti Petrol 95, 97, Diesel B10 dan Diesel B7 yang berkualiti tinggi kepada pengguna di kawasan bandar Kuala Lumpur.

Ia turut menjamin bekalan petrol yang stabil serta memanfaatkan subsidi kerajaan (BUDI95) untuk memastikan pengguna dapat terus menikmati harga petrol yang disubsidi, seterusnya meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Stesen baharu itu sangat strategik untuk disinggah kerana ia dilengkapi dengan kedai serbaneka BHPetromart, ruangan solat, Kenangan Coffee dan tentunya bilik tandas yang besar dan bersih untuk kemudahan pelanggan.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakiri serta Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir Azizul Azily Ahmad dan diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Turut memeriahkan program ialah pengusaha-pengusaha stesen minyak BHPetrol di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, rakan-rakan niaga, wakil media dan pelanggan.

Sementara itu, Azizul Azily berkata pihaknya berharap supaya usaha sama strategik bersama DBKL serta PDRM akan dapat diteruskan dengan komitmen yang tinggi dalam kalangan syarikat GLC, pihak berkuasa tempatan serta pihak-pihak yang terbabit.
“Kerjasama ini dapat memberi impak yang positif bukan hanya kepada perniagaan, malah kepada pengguna secara keseluruhan.
“BHPetrol juga menyedari bahawa peranan sebuah stesen minyak bukan sekadar untuk menyalurkan bahan api kepada penduduk setempat, tetapi turut berfungsi sebagai pusat kemudahan harian kepada pengguna,” katanya.































