
Toyota Hilux…Nama ini ibarat sebuah lagenda di jalanan, sinonim dengan ketahanan dan kebolehpercayaan yang tidak pernah mengecewakan.
Meskipun berdepan dengan pelbagai pesaing baharu dari Eropah dan China yang mula menyusul, Hilux masih teguh berdiri. Ia terus menjadi pilihan utama dan mendominasi carta jualan.
Kini, trak pikap itu tampil lebih berani dan bertenaga dengan kehadiran varian terbaharu, Toyota Hilux GR Sport.
Ia bukan sekadar pikap biasa yang diperkemas. Hilux GR Sport lahir daripada DNA perlumbaan Gazoo Racing, sebuah nama yang cukup digeruni dalam dunia permotoran.
Gabungan warisan lasak Hilux dengan sentuhan prestasi dan gaya sporty, menjadikan Hilux GR Sport lebih dari sekadar kenderaan kerja berat.
Ia direka untuk memberikan anda keseronokan memandu sebuah pikap yang gagah, dengan falsafah yang cukup menarik iaitu “Tough X Sporty” (Lasak X Sporty).
Bukankah itu kombinasi yang sempurna untuk gaya hidup masa kini?
Kuasa dan Prestasi Luar Biasa
Di bawah hud, Hilux GR Sport dikuasakan oleh enjin bersesaran 2,755cc 1GD- FTV DOHC Intercooler VNT.
Ia mampu menjana kuasa 224 ps @ 3,000 rpm dan tork puncak 550Nm @ 1,600– 2,800rpm, memastikan daya pecutan yang responsif. Angka ini merupakan yang tertinggi dalam varian Hilux di pasaran tempatan.
Kuasa agresif ini disalurkan dengan lancar melalui transmisi automatik 6-kelajuan yang dilengkapi fungsi sequential (jujukan) dan pedal gear.
Ini bukan sahaja menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, malah memberikan kawalan sepenuhnya di hujung jari. Tidak lupa, ada juga mod pemanduan ECO/Power untuk prestasi maksimum atau penjimatan minyak. Pilihan di tangan anda!
Sentuhan GR Sport: Dari Suspensi Hingga Angkup Brek
Tidak lengkap tanpa menyentuh sistem suspensi yang menerima sentuhan istimewa Gazoo Racing.
Penyerap Hentak Monotube GR Sport menawarkan pengendalian yang lebih mantap dan keyakinan jauh lebih baik di jalan raya, terutama ketika mengambil selekoh.
Melengkapi aura sporty ini adalah roda aloi 18 inci dengan reka bentuk jejari unik. Cuba perhatikan angkup brek dengan logo GR dan merah menyala, yang biasanya dilihat pada kereta sport berprestasi tinggi.
Rim 18 inci ini dipadankan dengan tayar jenis Highway Terrain, menjanjikan cengkaman yang mantap di jalanan dan memastikan keselesaan maksimum terutamanya ketika memandu di lebuh raya.
Teknologi Pacuan yang Mengagumkan: Sedia Menempuh Apa Jua Cabaran
Hilux GR Sport bukan sekadar segak di jalanan, ia juga cukup perkasa di laluan lasak.
Dengan ciri-ciri seperti Pacuan Empat Roda Separuh Masa (Part-time 4WD) dengan Pembeza Penyahsambungan Automatik (ADD – Automatic Disconnecting Differential), Pembeza Gelincir Terhad Automatik (LSD) dan Kunci Pembeza Belakang (Rear Differential Lock), Hilux GR Sport bersedia menempuh sebarang cabaran.
Semasa beroperasi, LSD automatik memaksimumkan cengkaman tanpa mengehadkan kuasa enjin apabila salah satu roda belakang tergelincir.
Sistem Stereng Kuasa Kawalan Aliran Berubah (VFC – Variable Flow Control) Power Steering menyediakan pengendalian yang lebih semula jadi dengan mengubah tahap bantuan untuk padanan kelajuan tinggi dan rendah.
Kawalan Bantuan Menuruni Bukit (DAC – Downhill-Assist Control) secara automatik mengawal brek dan menghalang Hilux daripada tergelincir semasa menuruni cerun curam.
Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC – Active Traction Control) pula berfungsi apabila roda hilang cengkaman dalam mod 4WD, sistem akan membrek roda tersebut dan memindahkan kuasa ke roda lain pada gandar untuk mengekalkan momentum ke hadapan.
Reka Bentuk Berani dan Sporty
Dari pandangan pertama, Hilux GR Sport berada di peringkat kasta berbeza menerusi rekaan bampar hadapan yang mengekspresikan ketahanan sporty serta logo GR Sport dan emblem TOYOTA yang gagah di tengah.
Gril radiator hitam, bampar hadapan dengan warna badan, bampar belakang hitam, serta fender lebar bergabung membentuk sebuah visual yang dominan.
Pakej pencahayaan pula lengkap dengan lampu hadapan Bi-LED Projektor Automatik yang disertakan fungsi Follow-me-home, serta Lampu Nyalaan Siang (DRL) untuk pandangan yang jelas di siang hari.
Lampu kabus LED yang terletak di sudut bampar bawah pula menyerlahkan penampilan lebar dan rendahnya. Cermin sisi hitam berkuasa boleh laras dan antena sirip ikan jerung menambahkan lagi sentuhan sporty.
Di bahagian belakang, pelekat merah dan hitam melambangkan semangat Gazoo Racing. Tentunya dek yang luas tersedia untuk segala jenis aktiviti ekstrem.
Bahagian dalaman Sporty
Bahagian dalaman Hilux GR Sport menawarkan gabungan keselesaan dan kecanggihan. Gaya dalaman sporty dengan jahitan merah di seluruh ruang dalaman mewujudkan ciri-ciri istimewa.
Panel meter Optitron dengan kawalan iluminasi serta Paparan Multi-Maklumat TFT warna 4.2 inci membekalkan semua maklumat penting.
Rekaan Meter Optitron Baharu bertema GR menyambut pemandu dengan animasi GR sebelum sesi pemanduan.
Sistem audio 9 inci dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay & Android Auto, USB, dan Bluetooth menjanjikan hiburan yang lancar.
Kawalan iklim automatik dwi-zon dengan saluran udara belakang, port pengecas USB pantas dan Perakam Video Digital (DVR) hadapan meningkatkan keselesaan dan keselamatan.
Stereng balutan kulit 4-jejari boleh dilaras sudut condong dan teleskopik yang kemudian dipadankan dengan pedal gear dan pelbagai suis kawalan termasuk untuk bantuan pemanduan seperti Kawalan Jelajah Adaptif dan Amaran Penukaran Lorong.
Sistem kemasukan tanpa kunci Smart Entry dan Butang Penghidup dengan logo GR menyerlahkan sentuhan eksklusif. Pedal Sport Aluminium dapat membantu menghalang kaki pemandu daripada tergelincir.
Kerusi hadapan GR Sport memberikan keselesaan dan sokongan maksimum dengan balutan kulit suede premium, dihiasi lencana GR pada sandaran kepala.
Sistem kemasukan beriluminasi dengan lampu butang penghidup, dan ruang kaki menambah ciri-ciri kemudahan.
Keselamatan dengan Keyakinan
Hilux telah dianugerahkan penarafan 5 bintang ASEAN NCAP (2015) dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa.
Keselamatan adalah keutamaan dalam Hilux GR Sport, dengan rangkaian ciri-ciri Toyota Safety Sense (TSS) yang canggih termasuk:
- Sistem Pra-Perlanggaran (PCS): Mengelakkan atau meminimumkan perlanggaran hadapan dengan memberi amaran dan membrek secara automatik.
- Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Olengan (Yaw Assist): Memberi amaran jika kenderaan terkeluar lorong dan membantu membetulkan arah.
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC): Pada kelajuan melebihi 30 kmj, sistem mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan dan membrek secara automatik apabila kereta di hadapan bergerak perlahan.
- Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA): Mengesan kenderaan di lokasi terlindung daripada pandangan mata pemandu semasa menukar lorong atau mengundur.
Ciri keselamatan lain
- Kawalan Bantuan Menuruni Bukit (DAC ): Mengawal brek secara automatik dan menghalang Hilux daripada tergelincir semasa menuruni cerun curam.
- Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC): Apabila roda hilang cengkaman dalam mod 4WD, sistem akan membrek roda tersebut dan memindahkan kuasa ke roda lain pada gandar untuk mengekalkan momentum ke hadapan.
- Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC): VSC menghalang Hilux daripada berpusing apabila pergerakan mendadak diperlukan, manakala TRC meningkatkan cengkaman apabila bergerak/memecut di permukaan licin.
- Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS – Emergency Stop Signal) dan Kawalan Olengan Treler (TSC).
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) & Bantuan Brek (BA)
- ABS menghalang roda terkunci semasa membrek manakala EBD mengagihkan kuasa brek secara optimum ke setiap roda mengikut beban dan berat semasa. BA pula memastikan daya brek maksimum dikenakan apabila kecemasan dikesan.
- Sensor undur dan kamera undur.
- 7 beg udara SRS (Pemandu, Penumpang Hadapan, Sisi, Tirai & Lutut Pemandu) menyediakan perlindungan lengkap.
- Peringatan Tali Pinggang Keledar (Seat Belt Reminder): Mengingatkan semua penumpang untuk memakai tali pinggang keledar mereka.
- ISOFIX (Tempat Duduk Belakang Sisi).
Sistem keselamatan komprehensif yang lain antaranya immobiliser (pelumpuh), siren dengan bateri sokongan, sensor kabin, kunci ganda dan kunci pintu automatik kelajuan tinggi serta kunci roda ganti dan Toyota Premium Security & Solar Film, memberikan ketenangan fikiran buat pemilik.
Sistem Telematik Kenderaan (VTS) pula memantau dan berkongsi lokasi Hilux dalam masa nyata melalui aplikasi mudah alih.
Penghidup Enjin Kawalan Jauh (RES ) membolehkan pemandu menghidupkan kenderaan dari jauh untuk suhu kabin yang diinginkan.
Perkhidmatan Selepas Jualan dan Sokongan Pelanggan: Melangkaui Batasan
UMW Toyota Motor sentiasa meletakkan pengalaman pelanggan di tempat pertama dengan komitmen “Melangkaui Batasan” untuk setiap pelanggan.
Dengan rangkaian pusat servis di seluruh negara, anda sebagai pemilik Toyota akan sentiasa mempunyai akses mudah kepada perkhidmatan berkualiti dan alat ganti tulen.
Jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka di jalan raya, jangan bimbang, 24SEVEN Road Assist akan membantu pemilik 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
Ini termasuk bantuan kerosakan, pembaikan kecil di tempat kejadian dan perkhidmatan menunda percuma sehingga RM400 setiap kali, sebanyak enam kali dalam tempoh sah 12 bulan.
UMW Toyota Motor juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti Toyota Service Savers untuk penyelenggaraan kereta yang mudah dan bermanfaat, serta program Loyal-T untuk ganjaran tambahan.
Toyota Quality Service memastikan kereta anda sentiasa dalam keadaan terbaik, manakala Toyota Genuine Parts menjamin kualiti, kebolehpercayaan, dan nilai jualan semula yang lebih tinggi.
Harga dan Waranti
Toyota Hilux GR Sport ditawarkan pada harga bermula dari RM173,280. UMW Toyota Motor menawarkan waranti 5 tahun atau 150,000km (mana tiba dahulu) mencerminkan keyakinan jenama terhadap kualiti dan ketahanan produk mereka.
Bukan Sekadar Sebuah Pikap
Toyota Hilux GR Sport bukan sekadar sebuah pikap ia adalah manifestasi gabungan kuasa, gaya dan teknologi canggih yang diwarisi daripada legasi Hilux yang terbukti lasak.
Hilux GR Sport direka untuk memenuhi tuntutan pemandu moden yang menginginkan prestasi tanpa kompromi, keselamatan dan keselesaan, sambil disokong oleh komitmen padu Toyota terhadap kelestarian dan komuniti.











































