Tular pasang bendera terbalik pada MPV, polis buka kertas siasatan

9

Tular di media sosial video memaparkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik pada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah premis di Pekan Nanas, Pontian. 

Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki yang juga pemandu lori menghampiri MPV dipercayai Toyota Avanza yang diparkir di lokasi berkenaan sebelum menegur pemilik kenderaan kerana bendera negara dipasang terbalik pada cermin hadapan.

“Kereta siapa? Kenapa pasang terbalik?,” tegur lelaki tersebut sebelum  mencabut bendera berkenaan.

Tindakan spontan lelaki itu mendapat pujian ramai pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai peka terhadap isu melibatkan lambang kebangsaan.

Namun, ada juga yang meluahkan rasa kecewa kerana kejadian seumpama itu masih berlaku dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung kejadian berkenaan yang berlaku di hadapan sebuah kedai perabot di Jalan Besar, Pekan Nanas.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati bendera tersebut telah diturunkan semasa pemeriksaan dijalankan.

“Pemandu seorang lelaki berusia 44 tahun bersama kenderaan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan memasang bendera secara terbalik boleh mengundang salah faham masyarakat serta menjejaskan sensitiviti rakyat Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Mohamad Shofee turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berhubung insiden itu sehingga siasatan selesai.

“Pihak polis juga mengingatkan semua agensi, premis perniagaan serta individu supaya memastikan pemasangan Jalur Gemilang dilakukan mengikut tatacara dan protokol yang ditetapkan sebagai tanda penghormatan kepada kedaulatan negara,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here