
Hyundai Motor Company dan General Motors (GM) mengumumkan perancangan untuk lima model kenderaan pertama yang dibangunkan bersama, menandakan satu pencapaian signifikan dalam kerjasama strategik yang diumumkan sebelum ini.
Kerjasama ini akan menyaksikan kedua-dua syarikat membangunkan empat kenderaan untuk pasaran Amerika Tengah dan Selatan.
Ini termasuk sebuah SUV kompak, kereta dan pikap serta sebuah pikap bersaiz sederhana.
Kesemua model ini akan mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan sistem pacuan pembakaran dalaman atau hibrid. Selain itu, Hyundai dan GM juga akan membangunkan sebuah van komersial elektrik khusus untuk pasaran Amerika Utara.
Sasaran Jualan dan Pembahagian Pembangunanย
Kedua-dua pengeluar automotif ini menjangkakan jualan kenderaan hasil kerjasama ini akan melebihi 800,000 unit setahun sebaik sahaja pengeluaran mencapai skala penuh.
Dari segi pembahagian tugas, GM akan mengetuai pembangunan platform trak bersaiz sederhana, manakala Hyundai pula akan bertanggungjawab untuk pembangunan kenderaan kompak dan van elektrik.
Kedua-dua syarikat akan berkongsi platform yang sama, namun reka bentuk dalaman dan luaran akan dicipta secara unik bagi mengekalkan identiti jenama masing-masing.
Kerja reka bentuk dan kejuruteraan untuk kenderaan pasaran Amerika Tengah dan Selatan kini sedang giat dijalankan, dengan pelancaran dijangka pada tahun 2028.
Van komersial elektrik pula dijadualkan untuk mula dikeluarkan di Amerika Syarikat seawal tahun 2028.
Manfaat Kerjasama Strategik
Josรฉ Muรฑoz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motor Company, menyatakan;
Kerjasama strategik Hyundai dengan GM akan membantu kami terus memberikan nilai dan pilihan kepada pelanggan merentasi pelbagai segmen kenderaan dan pasaran.
Skala gabungan di Amerika Utara dan Selatan membantu kami menyediakan lebih banyak apa yang pelangganย inginkan iaitu kenderaan yang direka dengan cantik, bermutu tinggi, berfokuskan keselamatan dan dengan teknologi yang mereka hargai, katanya.
Sementara itu, Shilpan Amin, Naib Presiden Kanan GM dan Ketua Pegawai Perolehan dan Rantaian Bekalan Global, menjelaskan bahawa kenderaan yang diumumkan ini menyasarkan segmen terbesar di pasaran Amerika Tengah dan Selatan, serta segmen komersial di Amerika Utara.
Dengan bekerjasama, GM dan Hyundai akan membawa lebih banyak pilihan kepada pelanggan dengan lebih cepat, dan pada kos yang lebih rendah. Model pertama yang dibangunkan bersama ini jelas menunjukkan bagaimana GM dan Hyundai akan memanfaatkan kekuatan pelengkap dan skala gabungan kami, tambah Amin.
Inisiatif Bersama Lain
Selain pembangunan kenderaan, kedua-dua syarikat juga merancang inisiatif pemerolehan bersama di Amerika Utara dan Selatan untuk bahan, pengangkutan, dan logistik.
Bidang lain untuk operasi bersama yang berpotensi termasuk bahan mentah, komponen, dan sistem kompleks.
Hyundai Motor dan GM turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam penggunaan keluli rendah emisi karbon sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap pembuatan yang mampan.
Berikutan penandatanganan perjanjian rangka kerja pada September 2024, kedua-dua konglomerat akan terus menilai program pembangunan kenderaan bersama tambahan untuk pasaran global, serta peluang kerjasama merentasi sistem pacuan, termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid, kenderaan elektrik bateri dan teknologi sel bahan api hidrogen.