Toyota Sienta JUNO untuk Jepun, unik dengan modul perabut ala rumah bergerak!

97

Toyota Motor Corporation mengumumkan beberapa penambahbaikan pada model Toyota Sienta, bersama pengenalan model lengkap baharu, Sienta JUNO.

Pembangunan JUNO merupakan usaha sama dengan MODELLISTA, jenama produk di bawah Toyota Customizing & Development Co., Ltd.

Kedua-dua model ini telah mula dijual secara rasmi pada 5 Ogos.

Model Sienta yang dipertingkat kini menawarkan daya tarikan yang lebih tinggi melalui penambahan peralatan baharu, penambahan ciri keselamatan serta pilihan popular pengeluar kini dijadikan ciri standard yang sebelum ini tersedia sebagai pilihan tambahan.

Ciri-ciri baharu Sienta 2025

Brek parkir elektrik dan Brake Hold

Brek parkir elektrik dan fungsi Brake Hold kini menjadi ciri standard pada semua varian.

Fungsi Brake Hold kini akan kekal aktif walaupun selepas enjin dimatikan dan dihidupkan semula, satu ciri pertama seumpamanya bagi jenama Toyota.

Ini meningkatkan kemudahan pemandu kerana tidak perlu mengaktifkan semula Brake Hold setiap kali memulakan pemanduan.

Sistem bantuan pemandu

Kawalan Jelajah Radar (dengan fungsi ikut kelajuan penuh) yang merangkumi fungsi Henti-Kekal (Stop-Hold) yang menghentikan kenderaan jika kenderaan di hadapan berhenti, kini standard pada semua varian.

Apabila kenderaan di hadapan berhenti, Sienta akan turut berhenti dan kekal tidak bergerak. Apabila kenderaan di hadapan mula bergerak, pemandu boleh memulakan semula pergerakan dan meneruskan pemanduan.

Sistem Tindak Balas Kelainan Pemandu, yang memberi amaran dan mengendalikan kenderaan jika pemandu dikesan tidak dapat meneruskan pemanduan dengan selamat, kini standard pada semua varian.

Fungsi Bantuan Pemanduan Proaktif (PDA), yang merupakan standard pada semua varian, telah dipertingkatkan dengan penambahan fungsi bantuan stereng berterusan ketika memandu dalam lorong.

Pilihan pengeluar yang popular dijadikan ciri standard

Sistem ETC2.0 yang digabungkan dengan perakam pemanduan (depan dan belakang) kini menjadi ciri standard pada semua Sienta kecuali varian X.

Penyaman udara automatik juga kini standard pada semua varian.

Pengenalan Toyota Sienta JUNO

Serentak dengan Sienta 2025, Toyota turut memperkenalkan model lengkap baharu Sienta JUNO. Model ini dibangunkan bersama MODELLISTA dan diasaskan daripada gred Z hibrid.

Model ini unik kerana dilengkapi pelbagai perabut dan boleh digunakan sebagai kenderaan rekreasi atau kembara.

Sienta JUNO menawarkan modul perabot yang tersedia sebagai empat pilihan pakej iaitu Chill, Refresh, Focus, dan Comfort.

Modul perabot ini juga boleh dibeli secara individu sebagai aksesori pilihan pengedar.

Di sebalik penawaran ini, pengubahsuaian JUNO melibatkan penukaran konfigurasi Sienta kepada dua tempat duduk dan membawa implikasi kepada pendaftaran dan penggunaan ruang bagasi yang hanya dibenarkan semasa kenderaan berhenti.

Rangkaian kuasa 

Toyota Sienta ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa utama iaitu 1.5 liter hibrid atau 1.5 liter petrol biasa.

Sienta Hybrid (2WD dan E-Four)

Enjin: M15A-FXE, 1,490cc

  • Output Maksimum: 91 ps @ 5,500 rpm
  • Tork Maksimum: 120Nm @ 3,800–4,800 rpm

Motor Elektrik (Hadapan):

  • Output Maksimum: 80 ps
  • Tork Maksimum: 141 Nm

Motor Elektrik (Belakang, untuk E-Four):

  • Output Maksimum: 3.0 ps
  • Tork Maksimum: 44 Nm

Bateri: Litium-ion (6.5 Ah)

Transmisi: ECT 

Sienta Petrol (2WD)

Enjin: M15A-FKS, 1,490cc

  • Output Maksimum: 120 ps @ 6,000 rpm
  • Tork Maksimum: 145 Nm @ 4,800–5,200 rpm

Transmisi: Direct Shift-CVT (dengan 10 gear maya)

Dimensi luaran dan dalaman Sienta:

  • P X L X T: 4,260 mm X 1,695 mm X 1,695 mm
  • Jarak Roda: 2,750 mm
  • Ruang Kepala (Depan): 1,530 mm
  • Ruang Kepala (Belakang): 1,300 mm
  • Kapasiti Tempat Duduk: 5 atau 7 penumpang

Harga Sienta 2025 di Jepun

Harga Sienta bermula dari 2,077,900 Yen (RM59,584.20) untuk varian paling asas dan sehingga 3,322,000 Yen (RM95,259.01) untuk varian tertinggi.

Harga Toyota Sienta JUNO

Model lengkap Toyota Sienta JUNO ditawarkan dalam konfigurasi 2 tempat duduk dengan enjin hibrid pada harga berikut:

  • JUNO Hibrid 2WD: 3,654,200 Yen (RM104,858.96)
  • JUNO Hibrid E-Four: 3,852,200 Yen (RM110,505.47)

Modul perabot pilihan untuk JUNO ditawarkan pada harga berikut:

  • Set 1 (Chill): 165,000 Yen (RM4,731.41)
  • Set 2 (Refresh): 220,000 Yen (RM6,308.54)
  • Set 3 (Focus): 231,000 Yen (RM6,623.97)
  • Set 4 (Comfort): 330,000 Yen (RM9,462.82)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here