Utama Berita Automotif Chevrolet tutup kedai selepas 21 tahun di China

Chevrolet tutup kedai selepas 21 tahun di China

6

General Motors (GM) mengesahkan Chevrolet secara rasmi menghentikan operasi jualan runcitnya di China selepas hampir 21 tahun.

Jenama gergasi yang berusia lebih seabad itu pernah mencatatkan era kegemilangan di China dengan angka jualan tahunan melebihi 760,000 unit serta mengumpul lebih daripada 7.5 juta pemilik kenderaan di bawah portfolionya.

Dalam satu kenyataan kepada National Business Daily pada Isnin, GM China mengesahkan bahawa syarikat usahasamanya akan mengekalkan pengeluaran Chevrolet di China. 

Fokus strategik Chevrolet di China kini dialihkan sepenuhnya dengan menjadikan negara tersebut sebagai hab pengeluaran dan eksport ke pasaran antarabangsa di luar Amerika Syarikat. Barisan produk Chevrolet sedia ada dinilai lebih bertepatan dengan kriteria serta kehendak pasaran luar.

Berdasarkan data Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), eksport Chevrolet dari China mencecah 6,930 unit pada separuh pertama tahun ini dengan peningkatan sebanyak 6.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Usahasama SAIC-GM Dilanjutkan Sehingga 2047

Langkah penstrukturan semula ini berjalan seiring dengan komitmen jangka panjang antara GM dan SAIC Motor.

Kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian pembaharuan strategik bagi melanjutkan usahasama SAIC-GM untuk tempoh 20 tahun lagi sehingga tahun 2047, menjadikannya antara tempoh sambungan usahasama terpanjang di rantau ini.

Menerusi perjanjian ini, SAIC-GM merancang untuk melancarkan sekurang-kurangnya 30 model kenderaan tenaga baharu (NEV) menjelang tahun 2030 dengan keutamaan fokus diberikan kepada pengeluaran model elektrik bagi jenama mewah Cadillac dan Buick.

Jaminan Servis Buat 7.5 Juta Pemilik Sedia Ada

Naib Presiden Eksekutif GM Global merangkap Presiden GM China, John Roth berkata pihaknya melihat peluang yang sangat luas untuk bergerak melangkaui China dan menembusi pasaran dunia.

“Keupayaan tempatan SAIC-GM yang kukuh dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan kualiti boleh dimanfaatkan untuk memasuki pasaran di Timur Tengah, Afrika, Amerika Selatan, Mexico, serta rantau Asia-Pasifik, dengan sokongan rangkaian jualan dan servis selepas jualan global GM yang luas,” ujarnya. 

Bagi meredakan kebimbangan lebih 7.5 juta pemilik kenderaan Chevrolet di China, GM memberi jaminan bahawa perkhidmatan selepas jualan komprehensif akan diteruskan seperti biasa.

Rangkaian pengedar tempatan akan kekal beroperasi untuk menyediakan bekalan alat ganti serta kerja-kerja penyelenggaraan tanpa sebarang gangguan.

Perjalanan Chevrolet di China telah menyaksikan perubahan yang drastik sejak ia diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2005.

Jenama ini mencapai kemuncak sejarahnya pada tahun 2014 dengan jualan runcit tahunan mencecah kira-kira 767,000 unit yang didorong oleh model-model popular seperti Cruze.

Bagaimanapun, faktor utama kemerosotan ini disumbangkan oleh kontroversi penawaran enjin tiga-silinder yang kurang digemari pengguna tempatan, kebangkitan agresif jenama-jenama pengeluar domestik China serta peralihan pantas pasaran tempatan terhadap kenderaan NEV.

Menjelang 2025, angka jualan tahunan Chevrolet di China merosot teruk sehingga mencatatkan kurang daripada 9,000 unit.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here