Utama Berita Automotif Sorok bawah lantai, MPV Malaysia ‘kantoi’ seludup rokok ke Singapura

Sorok bawah lantai, MPV Malaysia ‘kantoi’ seludup rokok ke Singapura

7

Cubaan menyeludup ratusan karton dan paket rokok tidak dibayar cukai menggunakan sebuah MPV dengan nombor pendaftaran Malaysia ke Singapura gagal selepas dikesan oleh pihak berkuasa negara jiran itu, baru-baru ini.

Dalam satu pendedahan menerusi akaun Facebook rasmi Immigration & Checkpoints Authority (ICA) Singapura, pihak penguat kuasa berjaya merampas 600 karton dan lebih 900 paket rokok seludup yang disembunyikan di dalam ruang ubah suai bahagian lantai sebuah MPV jenama Hyundai. 

Menurut kenyataan, kejayaan rampasan pada 4 Ogos lalu itu adalah hasil maklumat risikan yang disalurkan oleh Pusat Sasaran Bersepadu (ITC) ICA di Pos Pemeriksaan Woodlands.

“Pihak berkuasa berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok tidak dibayar cukai menerusi sebuah kereta berdaftar Malaysia ke Singapura.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pegawai ICA telah mengarahkan kenderaan berkenaan untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” jelasnya.

Hasil pemeriksaan teliti ke atas MPV terbabit akhirnya membongkar taktik penyeludup yang mengubah suai struktur lantai kenderaan bagi mewujudkan ruang penyimpanan rahsia bagi mengaburi pihak berkuasa.

Susulan penemuan itu, pegawai ICA bertindak menahan pemandu MPV berkenaan iaitu seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun.

Suspek dan keseluruhan barangan rampasan tidak dibayar cukai itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Kastam Singapura untuk tindakan dan siasatan lanjut. 

Pihak ICA menegaskan bahawa kawalan dan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk sempadan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras sebarang cubaan menyeludup barang kawalan, senjata, mahupun barangan tidak bercukai ke dalam Singapura.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here