
Volvo Car Malaysia diumumkan sebagai Rakan Kenderaan Rasmi dan Rakan Selamat bagi Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Unifi Arena.
Kerjasama strategik bersama TV3 itu bertepatan dengan sambutan empat dekad AJL sebagai pentas paling berprestij dalam industri muzik tanah air.
Bawa Falsafah ‘Selamat’ Ke Pentas Hiburan
Menerusi kerjasama ini, Volvo memperluaskan kempen Selamat yang dilancarkan awal Januari lalu.
Kempen itu bertujuan mengubah persepsi keselamatan jalan raya daripada sekadar pematuhan undang-undang kepada budaya bersama.
Bagi AJL40, konsep Selamat turut diterjemah kepada kesejahteraan emosi para finalis.
Ruang kabin kenderaan Volvo akan dijadikan ruang tenang buat 10 finalis utama untuk menenangkan fikiran dan fokus sebelum melangkah ke karpet merah.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata, falsafah Selamat Volvo bukan hanya tentang perjalanan yang lancar, tetapi juga perlindungan terhadap perkara paling berharga — termasuk ketenangan minda.
“Volvo mahu memberikan ruang kepada bakat terbaik Malaysia untuk menikmati ketenangan sebelum tiba di pentas AJL40.
“Dalam masa sama, kami mahu lebih ramai keluarga mengenali kemewahan dan keselamatan yang menjadi identiti jenama ini,” katanya.
Barisan Kenderaan Premium Iringi Finalis AJL40
Penglibatan Volvo sebenarnya sudah bermula sejak Julai lalu apabila syarikat itu menyediakan kenderaan rasmi sepanjang siri jelajah promosi AJL40 di seluruh negara.
Menjelang malam kemuncak, barisan model premium Volvo akan membawa 10 finalis utama ke lokasi acara. Antaranya :
- Volvo ES90 – Sedan flagship terbaharu
- Volvo XC90 & XC60 – SUV mewah
- Volvo EC40 & EX30 – Model elektrik sepenuhnya
Reka bentuk Scandinavia dan tahap kemewahan model-model ini dijangka menjadi tarikan utama di karpet merah AJL40 nanti.
Selamat Calculator Dibawa Ke Karpet Merah
Selain menyediakan kenderaan, Volvo Car Malaysia turut membawa Selamat Calculator ke ruang interaktif khas di karpet merah.
Platform digital yang dibangunkan bersama Mr Money TV itu membantu pengguna memahami kesan sebenar isu keselamatan terhadap kehidupan dan perancangan masa depan.
Tetamu dan peminat AJL40 berpeluang mencuba sendiri kalkulator tersebut sebelum siaran langsung bermula.
Media Prima Sambut Baik Kerjasama
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof menyifatkan kerjasama ini hadir pada masa yang tepat.
“Empat dekad AJL telah menjadi platform untuk mengangkat karya muzik terbaik Malaysia. Nilai keselamatan dan kekeluargaan yang dibawa Volvo sangat sejajar dengan visi penganjuran AJL40 tahun ini,” ujarnya.
AJL40 akan disiarkan secara langsung pada 15 Ogos 2026 dari Unifi Arena menerusi TV3.
































