
Vietnam bakal mengharamkan penggunaan motosikal dengan bahan api fosil di pusat bandar bermula Julai 2026.
Ia merupakan sebahagian daripada rancangan menyeluruh untuk mengurangkan pelepasan emisi dan meningkatkan kualiti udara.
Larangan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Pham Minh Chinh itu berkuatkuasa pada 12 Julai yang mana terpakai pada semua motosikal dan skuter yang menggunakan bahan api fosil melibatkan kawasan Ring Road 1, melalui pusat bandar termasuk Old Quarter.
Menjelang 2030, Hanoi menyasarkan untuk menyekat semua kenderaan bahan api fosil persendirian di laluan Ring Road 3, yang mengelilingi luar Hanoi dan bersambung dengan lebuh raya yang menghubungkan ke wilayah jiran.
Pegawai menyatakan pelan tersebut bagi mengubah Hanoi menjadi bandar rendah emisi, dengan peralihan penuh ke arah kenderaan elektrik (EV) dan pengangkutan awam bersih dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bandar tersebut ditugaskan untuk memuktamadkan rangka tindakan Zon Emisi Rendah (LEZ) menjelang suku ketiga 2025 yang menggariskan pelan memodenkan transit, memperluas infrastruktur pengecasan dan beralih daripada bahan api kotor.
Menjelang 2030, sistem pengangkutan awam Hanoi dijangka akan menghubungkan sepenuhnya laluan utama, kawasan kejiranan padat dan hab perjalanan utama menggunakan bas elektrik dan laluan metro.
Kerajaan juga mahukan lebih banyak stesen pengecasan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk kenderaan bersih di seluruh bandar.
Sementara itu, Hanoi akan melancarkan insentif kewangan untuk syarikat-syarikat yang membina atau memasang EV.
Kenderaan bahan api fosil di kawasan pusat bandar akan dikenakan yuran pendaftaran dan tempat letak kereta yang lebih tinggi. Bermula hujung 2025, Hanoi akan mengharamkan penggunaan plastik sekali guna di restoran, hotel dan kedai makan di Ring Road 1.
PERATURAN BAHARU & HUKUMAN LEBIH BERAT
Peraturan baharu yang dijangka berkuatkuasa menjelang 2025 akan meningkatkan denda, meluaskan kuasa penguatkuasaan dan memberi polis kuasa penuh untuk mengendalikan semua kesalahan alam sekitar.
Kemudahan yang menyebabkan pencemaran berpanjangan atau teruk mungkin menghadapi pemotongan bekalan elektrik atau air, malah penurunan skor kredit.
Kerajaan juga akan melancarkan pemantauan masa nyata di kilang-kilang dan tapak pelepasan tinggi lain, dengan semua data disalurkan ke dalam pangkalan data alam sekitar nasional. Senarai awam akan menamakan kemudahan yang telah atau belum memasang sensor yang diperlukan.
Untuk membiayai peralihan hijau ini, Kementerian Kewangan sedang menggubal yuran baharu untuk pelepasan kenderaan dan pengecualian cukai bagi pelaburan dalam teknologi bersih, rawatan sisa dan pengangkutan hijau.