
Lamborghini Kuala Lumpur memperkenalkan Temerario, model terkini dalam barisan High Performance Electrified Vehicle (HPEV) yang membawa Lamborghini ke fasa baharu elektrifikasi sepenuhnya.
Temerario menjadi model kedua dalam rangkaian HPEV selepas pelancaran Revuelto pada 2023, dan menyusul selepas kehadiran Urus SE, Super SUV hibrid plug-in pertama Lamborghini.
Temerario menetapkan penanda aras baharu dalam segmen supercar, dengan gabungan enjin V8 biturbo baharu dan tiga motor elektrik yang menghasilkan kuasa luar biasa 920PS, serta mampu mencapai sehingga 10,000 rpm.
0-100km/j dalam 2.7 saat
Ia mampu memecut 0 sehingga 100 km/j hanya dalam 2.7 saat, dan kelajuan maksimum mencecah 343 km/j.
Lamborghini membangunkan sistem kuasa di Sant’Agata Bolognese, Itali dengan objektif utama memberikan kuasa dan respons seperti enjin naturally aspirated klasik, tetapi digabungkan dengan teknologi elektrifikasi moden.
Untuk keselesaan dan dinamik pemanduan, Temerario dibina dengan casis aluminium baharu yang meningkatkan kekuatan, selain menambah keselesaan dan kestabilan. Kabin direka semula sepenuhnya berbanding Huracan, dengan inspirasi daripada reka bentuk Revuelto.
Kabin lebih selesa
Ruang dalaman kini lebih luas, membolehkan pemandu setinggi 200cm lengkap dengan helmet memandu dengan selesa.
Tempat duduk ergonomik dan kedudukan rendah memberikan rasa seperti “pilot dalam kokpit”. Malah, ruang simpanan juga dipertingkat sehingga 112 liter di hadapan dan tambahan di belakang tempat duduk, sesuai untuk barang harian dan peralatan sukan.
Dari segi reka bentuk luaran, aerodinamik Temerario direka untuk kecekapan maksimum dan gaya bersih, sambil memperkenalkan sistem baharu Lamborghini Vision Unit yang membolehkan pemandu merakam dan berkongsi pengalaman litar atau jalan raya secara terus.
13 mod pemanduan
Temerario tampil dengan 13 mod pemanduan, menjadikannya antara supercar paling serba boleh dalam sejarah Lamborghini. Semua mod ditampilkan secara animasi interaktif pada paparan digital 12.3-inci pemandu.
Sebagai rakan tayar eksklusif, Bridgestone membangunkan set tayar khas daripada keluarga Potenza untuk Temerario termasuk Potenza Sport dan Potenza Race, direka khusus untuk prestasi jalan raya dan litar.
Tayar ini menampilkan corak bunga khas untuk cengkaman kering dan basah, serta kawalan kelajuan tinggi, menjadikan ia padanan sempurna untuk karakter agresif Temerario.
Lamborghini Temerario kini dibuka untuk tempahan di Malaysia melalui Lamborghini Kuala Lumpur, dengan harga permulaan sebanyak RM1.35 juta sebelum duti, cukai dan pilihan tambahan aksesori.