Presidential Renault Rafale – model hibrid untuk pemimpin utama Perancis

17

Dalam dunia automotif, kereta rasmi yang digunakan oleh pemimpin utama sesebuah negara selalunya menjadi topik yang menarik perhatian ramai.

Ia bukan sekadar kenderaan biasa, malah seringkali mencerminkan kemajuan teknologi, kemewahan, dan keunikan sesebuah negara.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, “Mengapa perlu kereta semahal dan sehebat ini untuk seorang pemimpin?”

Hakikatnya, keselamatan dan kesejahteraan seseorang pemimpin adalah perkara yang sangat penting bagi sesebuah negara.

Ciri-Ciri VVIP yang Jarang Didedahkan

Lazimnya, ciri-ciri keselamatan dan kemewahan kenderaan rasmi pemimpin utama negara jarang sekali didedahkan kepada umum.

Maklumat sebegini selalunya kekal sebagai rahsia demi menjaga protokol keselamatan.

Namun, kali ini berbeza. Renault berkongsi mengenai inovasi dan kepakaran yang disuntikkan ke dalam Presidential Renault Rafale yang merupakan hasil kerjasama unik di antara Istana Elysée, Renault dan barisan karyawan mahir Perancis.

Dari Luar: Anggun, Warna Istimewa

Model ini berasaskan Renault Rafale Hyper Hybrid E-Tech 4×4 300 hp baharu dan versi Presiden tampil lebih istimewa.

Dari pandangan luar kelihatan garisan klasik yang harmoni, dipertingkatkan dengan ciri-ciri yang menyerlah tetapi tidak menonjol.

Ini termasuk gril dengan warna bendera Perancis, pemegang bendera yang boleh ditanggalkan serta emblem biru, putih, merah pada pintu hadapan.

Warna eksklusif Bleu Présidence menghiasi bahagian luar kereta.

Apa yang menarik, cat ini menggunakan teknologi khas yang dapat mengehadkan penyerapan haba sehingga 10°C, menjadikan dalaman kereta lebih selesa.

Apabila terkena cahaya matahari, kelihatan kesan kilauan biru, putih, dan merah pada cat.

Pintu belakang pula dilengkapi ciri penutupan lembut untuk operasi yang lancar dan senyap, sesuai dengan keperluan rasmi.

Dalaman: Pejabat Bergerak yang Selesa dan Selamat

Ruang penumpang belakang direka sebagai pejabat bergerak dengan bentangan khas untuk kegunaan yang ergonomik dan berfungsi.

Penebat bunyi telah dipertingkatkan untuk persekitaran yang tenang dan bersesuaian sesuai untuk kerja atau perbincangan sulit.

Kawalan suhu juga dioptimumkan untuk memastikan suhu dalaman yang sentiasa selesa.

Untuk keselamatan dan keselesaan, pereka memilih bahan komposit yang ringan tetapi sangat kuat.

Selain dilengkapi perisai, kereta ini dipanjangkan dan disesuaikan dengan ciri-ciri teknikal khas.

Kerja-kerja perisai yang diperakui dipasang kemas tanpa mengubah identiti reka bentuk kereta.

Casis telah ditala khusus untuk pemanduan yang lancar dan stabil walaupun di bandar, manakala suspensi disesuaikan untuk menampung berat tambahan dari perisai.

Presidential Renault Rafale dilengkapi rim Chicane 20 inci, tayar semua cuaca Michelin dan pembelokan empat roda.

Kerjasama Tiga Hala: Sentuhan Perancis Sebenar

Projek ini adalah hasil kerjasama rapat antara Istana Elysée, Renault, dan karyawan Perancis yang terkenal dengan mutu kerja mereka.

Sejak awal lagi sepasukan pemandu, pegawai keselamatan, dan mekanik dari garaj presiden bekerjasama bagi menyepadukan keperluan khusus dari segi reka bentuk, memastikan semua keperluan keselamatan, keselesaan dan fungsi.

Setiap perincian dalam Presidential Renault Rafale melambangkan imej moden dan kreatif Perancis:

  • Marmar Noir Grand Antique dari Pyrenees: Bahan premium yang jarang digunakan dalam dunia automotif. Marmar hitam dengan jaluran putih ini menghiasi konsol tengah belakang, papan pemuka, dan stereng. Ia diuruskan oleh Mineral Expertise, pakar kerja batu Franco-Itali.
  • Marmar ini memberikan sentuhan kemasan mineral yang anggun kepada kabin yang direka sebagai pejabat bergerak.
  • Marquetry Halus oleh Ludovic Avenel: Seorang pakar pertukangan dari Paris yang mereka bentuk kemasan panel kawalan belakang menggunakan kayu dark beech dengan kemasan marquetry. Sentuhan tangan ini memberikan keseimbangan menarik dengan elemen marmar.
  • Balutan Eksklusif Renault: Setiap perincian dibuat dengan teliti oleh tukang balutan mahir Renault. Kulit dipilih dari potongan terpilih, dan jahitan biru disesuaikan dengan carta warna rasmi Republik. Tempat letak kepala menampilkan ukiran laser lambang kebangsaan Perancis.
  • Konsol Tengah Buatan Khas: Direka oleh Renault dan Centigon, serta dihasilkan oleh Design & Solution. Konsol ini yang dibaluti Alcantara, menunjukkan kepakaran dalam reka bentuk ergonomik dan teknologi terbina dalam.
  • Sistem Perisai oleh Centigon: Centigon Perancis, pakar perlindungan bergerak, bertanggungjawab memastikan perisai kereta memenuhi piawaian tertinggi.

Sejarah 105 Tahun Renault dan Presiden Perancis

Hubungan di antara Renault dan Presiden Perancis bukan sesuatu yang baharu.

Ia bermula sejak 1920, apabila Renault 40 CV, model mewah Perancis, menjadi kenderaan rasmi Presiden Paul Deschanel dan penggantinya. Sejak itu, dua belas ketua negara telah memilih kenderaan Renault untuk kegunaan rasmi.

Dari Reinastella hingga Safrane Limousine, setiap model melambangkan prestij fungsi presiden. Renault sentiasa menyesuaikan kenderaannya dengan keperluan negara, termasuk perisai, keselesaan, dan teknologi terkini.

Presidential Renault Rafale meneruskan tradisi panjang ini, menunjukkan pendekatan Perancis yang unik dengan menggabungkan inovasi, tanggungjawab, dan kecemerlangan dalam satu kereta yang benar-benar luar biasa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here