Suspek dadah rempuh polis, langgar orang awam

285
Polis menahan dua lelaki yang merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderaan orang awam dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan di lampu isyarat Batu 3 Jalan Apas, Tawau pada Isnin.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, insiden pada jam 1.45 petang itu berlaku ketika pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Daerah Tawau sedang menjalankan serbuan menerusi Op Tapis selepas mengesan Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
 
 
“Pasukan serbuan bertindak mengekori kenderaan itu sebelum cuba menyekatnya berhampiran kawasan perindustrian Batu 3. Namun suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderan milik orang awam.
 
“Suspek turut melarikan diri ke arah lampu isyarat Jalan Apas dan terus memandu secara melulu sehingga melanggar beberapa lagi kenderaan awam di sepanjang laluan.
 
“Kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan selepas pasukan polis mengepung kenderaan mereka di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 
 
 
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menjumpai sebuah beg kain di bawah brek tangan yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.13 gram dengan anggaran nilai RM400.
 
Jelasnya, kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang lagi warga asing berusia 18 tahun turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan individu lain masih diteruskan.
 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here