
Dua lelaki warga China maut selepas kereta yang dinaiki terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang dipercayai menukar lorong secara tiba-tiba di KM316.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di Tapah, pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam itu, penumpang depan, Chong Hong dan Yucheng Pan yang duduk di belakang, masing-masing berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, pemandu kereta, seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun, terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian leher, kaki dan tangan.
Menurutnya, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa yang menaiki Toyota Vios dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang sebelum hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati, kereta berada di lorong kanan ketika sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dipercayai menukar haluan secara mengejut di hadapan mereka.
“Akibatnya, kereta tersebut hilang kawalan sebelum terbabas. Dua penumpang yang duduk di hadapan dan belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut berasal dari Guangdong, China dan bekerja sebagai pengurus syarikat serta pengurus pemasaran.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat dan Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, setakat ini identiti lori yang terlibat masih belum dikenal pasti dan pihak polis kini giat mengesan saksi kejadian serta berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka daripada kenderaan mangsa atau pengguna jalan raya lain.