
Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Melaka atas tuduhan mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya, pada Selasa.
Tertuduh, Izhan Syahmi Izhar Shapawi, 18, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri sekeping kad debit ATM Agrobank milik Ahmad Jantan, 71 di sebuah rumah di Bukit Rambai pada jam 1.30 petang, 30 Mei lalu.
Pendakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, sabit kesalahan.
Tertuduh dipercayai menggunakan kad ATM datuknya itu dengan membeli alat ganti motosikal selain barang kemas yang dianggarkan kerugian kira-kira RM20,000.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan ibu tertuduh hadir sebagai penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.