
Seorang juruteknik yang sebelum ini ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.
Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28 yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian mangsa dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33 di Jalan Raya Barat di Klang, kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac, Ahad lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
Sekiranya tertuduh tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
DADAH BENZO & THC

Pada masa sama, tertuduh turut didakwa memberikan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, jam 3.30 petang, pada hari sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen dan Akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh mengaku bersalah bagaimanapun tiada ikan jamin ditawarkan kerana lelaki turut berdepan kes bunuh.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berhubung kes terbabit.
Sebelum ini suspek yang diuji positif alkohol dan dadah, ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.






























