
Seorang lelaki warga asing bertindak memandu secara melulu sebelum melanggar meja dan kerusi di sebuah gerai bubur di Taman Sentosa pada awal pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, sebelum itu suspek menghayunkan paip besi ke arah seorang pelanggan.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai juruteknik.
“Pengadu ketika itu sedang makan di sebuah warung bubur di Taman Sentosa sebelum didatangi suspek.
“Suspek keluar dari sebuah kereta sambil membawa sebatang paip besi sebelum menghayunkannya ke arah pengadu, namun mangsa sempat mengelak,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian masuk semula ke dalam kereta apabila melihat orang ramai datang untuk meleraikan keadaan lalu beredar dari kawasan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat di talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, 07-2182323.




