Utama Berita Automotif Motor Maniac 2026 sarat budaya automotif, potensi jadi produk pelancongan

Motor Maniac 2026 sarat budaya automotif, potensi jadi produk pelancongan

5

Budaya automotif, kreativiti belia dan industri hiburan berpotensi menjadi tarikan baharu dalam memperkayakan pengalaman pelancongan domestik, menerusi penganjuran Motor Maniac 5th Annual Festival 2026.

Festival selama dua hari pada 5 hingga 6 September lalu di Aras 7 (Rooftop), MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur itu menerima kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Dianjurkan Bateriku, Motor Maniac 2026 menghimpunkan komuniti peminat automotif dari seluruh negara, dengan mengetengahkan elemen gaya hidup, fesyen streetwear, muzik dan budaya belia dalam sebuah acara berteraskan komuniti.

Penganjuran edisi kelima itu menampilkan pelbagai pameran automotif, aktiviti kreatif, persembahan muzik serta program hiburan yang membuka ruang kepada penglibatan masyarakat dan komuniti tempatan.

Dalam kunjungan tersebut, Shaharuddin menerima plak penghargaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari.

Penganjuran Motor Maniac 2026 dilihat selari dengan usaha MOTAC dalam menyokong perkembangan industri kreatif serta memperkukuh pelancongan domestik berasaskan konsep event tourism, dengan menjadikan acara gaya hidup sebagai medium untuk menarik pengunjung.

Gabungan budaya automotif, kreativiti dan hiburan bukan sahaja menyediakan platform interaksi kepada komuniti, malah berpotensi memperkenalkan acara tempatan kepada khalayak yang lebih luas serta menyumbang kepada kepelbagaian produk pelancongan negara.

Secara tidak langsung, Motor Maniac 2026 membuktikan budaya automotif mampu menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan moden, seiring usaha memperkasa kreativiti belia dan memperluas tarikan pelancongan berasaskan acara di Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here