
Kerajaan Selangor tidak menafikan kemungkinan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengalami kerugian pada peringkat awal pelaksanaan sistem parkir pintar (SIP) berpusat yang dijangka bermula bulan depan.
Empat PBT terlibat iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan sistem itu memerlukan pelaburan besar daripada syarikat konsesi terlibat termasuk pemasangan peralatan dan sistem digital canggih bagi memperkemas proses kutipan parkir di seluruh negeri.
“Memang secara kiraan kasar, kita jangka mungkin PBT akan alami kerugian, tapi demi memastikan kutipan lebih tersusun dan berpusat, kerajaan negeri serta MBI perlu mainkan peranan,” katanya.
ANAK SYARIKAT PENUH MB SELANGOR DILANTIK URUSKAN SIP
Menurut Suee Lim, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 April lalu bersetuju anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd (Rantaian Mesra) dilantik untuk menguruskan SIP.
Jelas beliau, Rantaian Mesra perlu menyuntik modal besar untuk membangunkan keseluruhan sistem termasuk keperluan teknologi, infrastruktur dan sistem penguatkuasaan digital.
“Kalau kutipan tidak cukup, mereka perlu berusaha tingkatkan hasil supaya kutipan tinggi dan boleh dikongsi dengan PBT.
“Sekarang ini kutipan kurang memberangsangkan, tapi selepas tiga tahun semua sistem lengkap, kita yakin hasil akan naik,” katanya.
Tambah beliau, dalam anggaran semasa, kira-kira tiga tahun diperlukan untuk sistem itu berfungsi sepenuhnya dan mula menjana keuntungan.
Suee Lim menegaskan, langkah itu bukan bentuk penswastaan atau penjualan konsesi, sebaliknya kerjasama strategik yang melibatkan MBI bagi memastikan kerajaan negeri turut berkepentingan dalam pengurusan dan hasil sistem parkir.
“Dalam jangka masa pendek mungkin sukar, tapi dalam jangka masa panjang, kita percaya hasilnya akan lebih tersusun dan menguntungkan semua.
“Dulu kita biarkan sepenuhnya pada syarikat swasta urus parkir, kali ini kita libatkan MBI supaya kerajaan negeri ada peranan.
“Ia bukan jual konsesi, tiada sebarang jual beli. Ini kerjasama kerajaan negeri supaya kekal berkepentingan,” katanya.
Jelas beliau, sistem itu akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan empat PBT utama dengan lebih 200,000 petak parkir bermula di Shah Alam dan Selayang.
Sasaran asal pelaksanaan penuh ialah 1 Ogos depan, namun masih bergantung kepada proses dokumentasi serta maklum balas semua pihak terlibat.
“Kalau perlu sedikit masa tambahan untuk tambah baik cadangan sedia ada, kita sedia anjak bagi memastikan PBT, kerajaan negeri, MBI dan konsesi mendapat persefahaman,” jelasnya.