
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyerbu dua premis industri iaitu kilang memproses tayar terpakai dan batu bata yang beroperasi tanpa kebenaran, pada Rabu.
Menurut kenyataan, MPKS melaksanakan dua tindakan penutupan premis serta mengeluarkan empat kompaun melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang tempatan.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 17 peralatan perniagaan disita, termasuk forklift, mesin pemampat, wheel loader, hoist elektrik, mesin pemotong besi, peralatan kimpalan dan beberapa mesin industri lain yang digunakan dalam proses pengeluaran kilang.

“MPKS akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan aktiviti industri di Daerah Kuala Selangor dijalankan secara teratur, mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam Operasi Bersepadu Kilang Tanpa Kebenaran di kawasan Jeram itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) atas kesalahan tidak mematuhi notis serta Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut mengambil tindakan di bawah UUK 17, UUK 22 dan UUK 32 Undang-Undang Kecil PTPP (MDKS) 2007 berhubung kebersihan, pelepasan kumbahan dan kacau ganggu habuk serta bunyi.
Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu disertai seramai 42 anggota melibatkan pelbagai jabatan MPKS bersama agensi teknikal seperti SPAN, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Syarikat Air Selangor dan TNB Kuala Selangor.
Tindakan lanjut turut melibatkan pengeluaran notis di bawah Seksyen 82(5) Akta 133 terhadap aktiviti yang menyebabkan kacauganggu kepada persekitaran.






























