Harga murah, penggunaan tayar salji kenderaan berat berleluasa

22

Penggunaan tayar salji atau musim sejuk antara salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya terutama melibatkan kenderaan logistik seperti lori di negara ini.

Ini kerana, tayar tersebut tidak sesuai digunakan di atas permukaan jalan raya Malaysia kerana suhu dan iklim di negara ini yang panas menyebabkan tayar tersebut mudah pecah serta meletup.

Lebih membimbangkan, tayar musim sejuk yang telah tamat tempoh juga digunakan sebagai asas untuk menghasilkan tayar yang ditampal dawai kokok atau tayar celup di pasaran gelap.

Difahamkan, tayar salji terpakai import dijual pada harga serendah RM500 sebiji bagi kenderaan berat berbanding tayar baharu sekitar RM1,300 hingga mencecah lebih RM2,000 bergantung pada saiz dan jenama.

Manakala, bagi tayar celup boleh didapati pada harga serendah RM300 terutamanya di pasaran gelap.

Mendedahkan perkara itu, Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, penggunaan tayar tersebut kini berleluasa dalam kalangan ken­deraan berat.

Malah katanya, tayar tersebut juga turut dijual di pasaran gelap dan menjadi pilihan kerana har­ganya yang jauh lebih murah berbanding tayar biasa yang sesuai dengan iklim serta permukaan jalan raya di Malaysia.

“Tayar salji ini selalunya digunakan oleh lori atau kenderaan berat di sekitar kawasan pelabuhan dan ia mempunyai limit atau had tempoh penggunaan serta jaraknya. Harganya juga murah iaitu sehingga separuh daripada tayar biasa.

“Tayar ini biasanya digunakan sekitar tiga hingga enam bulan sahaja di negara-negara beriklim sejuk, itu pun semasa heavy snow. Tetapi kita di sini guna tayar tersebut kadang-kadang melebihi setahun dan cuaca di sini (Malaysia) panas sebab itu banyak terjadi kes kemalangan melibatkan tayar pecah.

“Saya juga hairan kenapa tayar salji ini banyak masuk ke negara kita (melalui pelabuhan), sedang­kan kita (Malaysia) bukan ada musim salji pun,” katanya kepada Kosmo.

Lando berkata secara umumnya, tayar musim sejuk direka untuk memberikan prestasi yang lebih baik di bawah keadaan suhu rendah, berbanding dengan tayar musim panas.

Jelasnya, sebatian bunga tayar biasanya lebih lembut daripada yang digunakan dalam tayar untuk keadaan musim panas, sekali gus memberikan cengkaman yang lebih baik di atas ais dan salji.

“Penggunaan tayar musim panas pada musim salji akan menyebabkan tayar menjadi keras dan hilang cengkaman jalan. Di Malaysia sebilangan pengguna suka memilih tayar musim salji (tayar terpakai).

“Penggunaan tayar musim sejuk pada cuaca panas seperti di Malaysia, akan menyebabkan tayar tersebut cepat haus dan pancit (meletup) akibat suhu yang tinggi kesan dari geseran dan jenis getah yang lembut. Ia juga direka untuk kelajuan yang sederhana dan tinggi,” jelasnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here