
Tayar belakang kiri pecah sebelum terbabas dipercayai menjadi punca kemalangan sebuah ambulans yang mengorbankan nyawa pemandu kenderaan itu di KM58.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima maklumat nahas pada jam 1.03 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati, ambulans yang dipandu Nurazrein Zainal, 43, dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Sampai di tempat kejadian, tayar ambulans bahagian belakang kiri telah pecah dan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kiri,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut Nurazrein cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di Hospital Enche’ Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.
Tambah beliau, dua jururawat, Dahlia Atan, 25, cedera parah pada bahagian kepala manakala Siti Rokiah Hassan, 35, cedera pada bahagian kaki sementara pesakit, V Amutha, 45, cedera di bahagian kepala.
Bahrin memberitahu, ketiga-tiga mereka kini sedang mendapatkan rawatan di HEBHK dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



























