
Penipuan label dan pemadaman kod bar pada tayar antara penemuan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan Op Grip.
Sumber berkata turut ditemukan ialah penjualan tayar menerusi pengedar tidak sah serta penyeludupan tayar import yang merisikokan keselamatan pengguna.
Beliau berkata penemuan itu hasil pemeriksaan ke atas 17,672 unit tayar dirampas dalam serbuan pada 29 September di enam gudang dan kontena melibatkan dua syarikat.
“Pemeriksaan melibatkan wakil teknikal tayar jenama Toyo Tires, Yokohama, Bridgestone, Michelin, Pirelli, Continental, Dunlop dan Maxxis; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
“Pemeriksaan bertujuan untuk mengenal pasti ketulenan tayar, pematuhan piawaian keselamatan dan mengesan penjualan melalui saluran tidak sah,” kata sumber.
Sumber berkata selain membekukan beberapa akaun perbankan persendirian dan syarikat dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta, pelbagai aset dipercayai diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram turut disita.
Aset itu termasuk enam lot tanah dijadikan tapak gudang bernilai RM4.5 juta, dua rumah teres dua tingkat (RM2 juta) serta masing-masing sebuah rumah bandar (RM2 juta) dan rumah kedai empat tingkat (RM4 juta) menjadikan nilai keseluruhan pembekuan dan sitaan RM82.5 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat berkenaan.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Pada 29 September lalu, SPRM membongkar kegiatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport yang dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak 2020.
Serbuan dilakukan terhadap beberapa syarikat terlibat perniagaan mengimport tayar, selain gudang dan kontena penyimpanan tayar di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.