SPRM bongkar kegiatan seludup tayar, kerajaan rugi RM350 juta

66

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport yang dipercayai menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak 2020.

Menurut sumber SPRM, pembongkaran itu dilaksanakan menerusi serbuan Op Grip yang dijalankan serentak di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, semalam.

“Serbuan ini dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar.

“Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang melibatkan nilai anggaran kira-kira RM70 juta,” katanya.

Menurut sumber itu, siasatan lanjut kini tertumpu kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram, sama ada oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau syarikat-syarikat pengimport tayar yang terlibat.

“Isu tayar terpakai yang tidak menepati piawaian boleh diumpamakan seperti ‘bom jangka kerana ia menjejaskan keselamatan pengguna dan boleh menyebabkan kemalangan. Ini menuntut tindakan lebih tuntas pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” kata Mohamad Zamri.

Sementara itu, tinjauan Bernama ketika mengikuti operasi serbuan ke tiga premis menjual tayar di Shah Alam mendapati satu daripada premis berkenaan menyimpan pelbagai jenis tayar di dalam 12 kontena yang disusun menegak setinggi empat tingkat.

Premis-premis perniagaan itu juga menyimpan pelbagai tayar daripada pengeluar dalam dan luar negara, dengan sebahagiannya dijual pada harga serendah RM85.

Serbuan itu diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan JKDM.

ARTIKEL LAIN

Lelaki mengaku dapat upah RM10k seludup M16

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here