
Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menggunakan pelekat logo Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 80 unit tayar celup, Februari lalu.
Syarikat Cerico Retread Sdn Bhd yang diwakili pengarah Khoo Chai Kee, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, Khoo selaku pengarah dan Syarikat Cerico Retread Sdn Bhd didakwa membuat representasi palsu menggunakan pelekat logo SIRIM MS 224:2005 pada 80 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz untuk pembekalan tanpa kelulusan SIRIM.
Kesalahan dilakukan di premis syarikat di Taman Perindustrian Bukit Palong Lukut, Pekan Lukut, Port Dickson pada 4 petang, 13 Februari.
Pertuduhan mengikut Seksyen 21 (b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum
RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, syarikat didakwa mengikut Seksyen 21 (a) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RMl juta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Muhammad Hakiim Izani, manakala tertuduh diwakili peguam Raswanti Nagaindren dan Suwaathee Nakkeeran.
Terdahulu, Muhammad Hakiim memohon supaya Khoo diikat jamin sebanyak RM20,000 selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai, manakala Raswanti memohon supaya jaminan dikurangkan atas faktor usia tertuduh.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 28 Ogos untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.