
Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) genap berusia 100 tahun.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925, beliau satu-satunya ahli politik yang dua kali memegang jawatan perdana menteri dan mencatat rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia apabila dilantik semula pada 2018.
Bahkan Tun M juga Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat, iaitu selama 22 tahun (1981-2003).
Sepanjang era kepimpinan Bapa Pemodenan ini, banyak pembangunan mega dijalankan seperti Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Litar Sepang Antarabangsa (SIC), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan projek kereta nasional, Proton.
EMPAT DEKAD PERJALANAN PROTON SAGA
Lembaran sejarah Malaysia menyaksikan satu persimpangan takdir yang amat jarang berlaku.
Semalam (9 Julai), negara menyambut ulang tahun ke-40 sebuah ikon yang menggerakkan jutaan rakyat, Proton Saga. Hari ini, kita meraikan ulang tahun ke-100 pencetus ikon tersebut, Tun M.
Dua hari ini mengikat erat legasi seorang pemimpin dengan warisan ciptaannya yang paling dekat di hati rakyat.
Di usianya yang masuk satu abad, Tun M diberi anugerah yang tidak ternilai untuk melihat sendiri bagaimana buah fikiran yang dicetuskannya pada tahun 1980-an bukan sahaja hidup, tetapi terus berevolusi dan kekal relevan empat dekad kemudian.
Proton Saga yang dulu diasaskan sebagai kereta mampu milik untuk rakyat, kini bertukar wajah menjadi kereta moden dengan skrin sentuh dan ciri keselamatan canggih.
Empat puluh tahun lalu, beliau melancarkan model pertama Saga. Imej Tun M menyerahkan kunci Proton Saga sebagai hadiah kepada Tun Siti Hasmah tersimpan rapi dalam lipatan sejarah.
Mengimbau kembali perjalanan kereta pertama nasional itu, Tun M memilih Mitsubishi Motors Corporation (MMC) sebagai rakan kerjasama teknikal yang merupakan sebahagian daripada ‘Dasar Pandang Ke Timur’.
Proton Saga segera menjadi pilihan utama rakyat Malaysia kerana reka bentuk yang ringkas, kos penyelenggaraan yang rendah, dan harga mampu milik.
Generasi pertama itu diasaskan daripada platform Mitsubishi Lancer Fiore. Ia dikuasakan oleh enjin 1.3L 4G13 Orion II dan 1.5L 4G15 Orion II, dengan harga jualan yang amat kompetitif pada ketika itu sekitar RM17,000 hingga RM19,000.
Bukan hanya laku keras di pasaran lokal bahkan ia menjadi salah satu daripada kereta baharu yang paling laris di United Kingdom, melepasi sasaran jualan 12 bulan hanya dalam tempoh setengah tahun.
Tun M mencetuskan idea kereta nasional pada 1979 dengan matlamat memacu kemajuan industri berat di Malaysia, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan mewujudkan peluang pekerjaan serta kepakaran tempatan.
Nama Saga itu sendiri dipilih hasil daripada “Peraduan Menamakan Kereta Kebangsaan” yang menerima sambutan luar biasa dengan 102,823 penyertaan.
Walaupun sering dikaitkan dengan biji saga yang keras dan tahan lasak, sebenarnya nama tersebut merupakan akronim bagi Safety, Achievement, Greatness dan Ability (Keselamatan, Pencapaian, Keagungan, dan Kebolehan).
Malah, nama Saga datang secara kebetulan ketika penciptanya Sarjan Ismail Jaafar bermain Scrabble bersama rakan-rakan..
Sebelum dilancarkan, sebanyak 36 prototaip telah direka bagi mendapatkan kelulusan Proton dan MMC pada tahun 1984.
Sepanjang 23 tahun pengeluarannya, generasi pertama Saga melalui beberapa fasa penambahbaikan termasuk pengenalan model Proton Saga Iswara pada tahun 1992.
Saga Iswara, yang dinamakan sempena spesis rama-rama (Papilio iswara) di Sarawak, menjadi sangat popular, terutamanya dalam kalangan pemandu teksi, dan kebanyakannya telah diubahsuai untuk menggunakan gas asli (NGV).
Selain itu, sebuah Proton Saga berwarna merah menjadi kereta rasmi pertama yang dipandu di atas Jambatan Pulau Pinang, pemandu kereta itu ialah Tun M sendiri.
Dengan lebih 1.95 juta unit terjual sejak 1985, Proton Saga bukan sekadar sebuah kereta. Ia adalah sebahagian daripada fabrik sosial Malaysia, menjadi saksi kepada pelbagai kenangan dan perjalanan jutaan rakyat.
TUN M TINGGALKAN PROTON PADA 2016

Setiap perjalanan pasti ada penamatnya sama ada ‘happy ending’ atau sebaliknya. Babak penting buat Proton apabila apabila Tun M melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi pada April 2016.
Momen itu ibarat seorang bapa melepaskan anaknya untuk menempuh alam kedewasaan dan mencari haluan sendiri.
Walaupun tanpa kelibat pengasasnya secara langsung, langkah itu membuka ruang untuk Proton memulakan fasa transformasinya, mencari rakan strategik baharu yang akhirnya memastikan legasi ciptaan Tun M itu bukan sahaja dapat diselamatkan, tetapi diberi nafas baharu untuk terus bersaing.
Tun M memutuskan untuk meninggalkan Proton kerana tidak mahu menjadi punca kepada ketidakmampuan syarikat kereta nasional itu untuk kembali pulih “kerana kehadirannya”.
Menerusi blog Che Det, beliau menyatakan ingin melihat Proton kembali pulih dan maju.
“Oleh kerana itu, kepada semua pemilik dan pembeli produk Proton, jangan lepaskan sikap marah anda kepada Proton kerana saya sudah bukan menjadi Pengerusinya.
“Teruskan sokongan anda kepada Proton. Proton mempunyai banyak idea -idea menarik, dan ini akan jelas kelihatan pada model-model yang akan dilancarkan kelak. Bukan setakat dari idea yang bernas, kualiti turut ditingkatkan.
“Bulan ini (2016), Proton akan melancarkan model terbaharu Perdana, dan kemudian dalam tahun ini, model-model Persona dan Saga akan dilancarkan.
“Proton tidak boleh mengharap kepada sebarang bantuan dari kerajaan. Cuma pemilik kenderaan Proton dan peminat-peminat Proton yang boleh menyelamatkan Proton. Oleh kerana itu, bantulah Proton, syarikat kenderaan nasional anda,” luah beliau.
Dalam catatat blog itu, Tun M menjelaskan bahawa beliau tidak dipecat oleh pihak pengurusan atau pemilik Proton.
“Saya buat keputusan saya sendiri, demi Proton, saya harus meninggalkannya,” kata Tun M menambah bahawa beliau tiada dendam terhadap Proton atau pun mahu melihat ia gagal selepas meninggalkannya.
Setahun kemudian, Geely membeli sebahagian kepentingan dalam Proton daripada DRB-Hicom.
Ia adalah usaha sama strategik yang bertujuan untuk membolehkan Proton berkembang sebagai jenama kereta nasional yang unggul, dengan akses kepada teknologi dan pasaran Geely.
Hasil usahasama itu, kita dapat melihat kehadiran SUV dalam senarai produk Proton menerusi X70 dan X50 di samping sedan S70.