
Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) diminta mengambil maklum mengenai pelaksanaan ujian kalibrasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang dijadualkan bermula jam 11 malam ini.
PLUS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ujian kalibrasi kamera AwAS akan dijalankan di KM265.3 (Arah Selatan), iaitu di jajaran di antara Nilai dan Seremban.
BUTIRAN UJIAN KALIBRASI:
-
Lokasi: KM265.3 (Arah Selatan), Jajaran Nilai – Seremban
-
Tarikh: Selasa, 25 November 2025
-
Masa: Jam 11:00 malam hingga 3:00 pagi
Menurut kenyataan, ujian tersebut penting bagi memastikan ketepatan fungsi kamera AwAS di lokasi tersebut.
Pengguna lebuh raya yang melalui kawasan tersebut pada tempoh ujian yang dinyatakan dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa.

“Ini bertujuan memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna sepanjang tempoh ujian kalibrasi dijalankan,” ujarnya.
Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan pelaksanaan sistem kamera ‘poin to poin’ membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.
Strategi baharu ini dijangka memberi kesan yang lebih besar dalam mendisiplinkan pemandu di lebuh raya dan jalan persekutuan, sekaligus mengurangkan kadar kemalangan yang berpunca daripada pemanduan melebihi had laju.






























