Pas Pahang tuntut penjelasan berkaitan caj tol Genting Highlands

6

Pas Pahang menuntut penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri berhubung Caj Jalan Persendirian (CJP) yang akan dilaksanakan di Genting Highlands, Bentong.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata perkara itu mencetuskan kebimbangan awam kerana melibatkan kepentingan rakyat negeri termasuk pekerja, penduduk setempat dan penggiat industri pelancongan.

Menurutnya, Genting Highlands adalah nadi pelancongan negeri dan sebarang keputusan yang melibatkan akses ke kawasan itu memberi kesan terus kepada ekonomi tempatan serta kehidupan rakyat.

“Oleh itu, kerajaan negeri bertanggungjawab menjelaskan perkara ini dengan penuh ketelusan dan tanpa berlengah.

“Ia termasuk status sebenar cadangan tol iaitu adakah cadangan itu telah dipersetujui dan siapa yang akan kutip caj tersebut jika dilaksanakan,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan, jalan raya ke Genting Highlands adalah kemudahan awam yang digunakan oleh rakyat sejak sekian lama.

Justeru katanya, sebarang usaha untuk mengenakan tol perlu mengambil kira prinsip keadilan, ketelusan dan tidak menekan golongan pekerja serta usahawan kecil yang mencari rezeki di kawasan tersebut.

“Jadi, kita menggesa kerajaan beri penjelasan segera agar spekulasi yang sedang berleluasa dapat dihentikan dan rakyat diberikan maklumat yang tepat,” katanya.

Pada 15 November lalu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim menjelaskan, jalan berkenaan bukan jalan Persekutuan atau negeri, sebaliknya dibina dan diselenggara oleh pihak Genting Malaysia sejak 1960-an.

Beliau turut menasihati pihak Genting Malaysia supaya mengambil kira faktor kebajikan komuniti setempat, termasuk penduduk yang menghantar anak bersekolah di kawasan berkenaan sekiranya caj itu di umum kelak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here