
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Khamis memutuskan tiada kenaikan tol bagi 10 konsesi lebuh raya untuk 2026, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata walaupun perkara itu akan mendatangkan kesan implikasi kewangan kepada kerajaan, namun jumlah itu akan ditanggung kerajaan.
“Perkara itu akan diperincikan oleh Kementerian Kerja Raya kelak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan keperluan mempercepat kerja-kerja menyiapkan dan menyediakan peralatan perubatan untuk pembinaan Pusat Kanser Sarawak.
“Kita ada membaca laporan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang berhasrat untuk menyalurkan sejumlah dana bagi melengkapkan perolehan beberapa peralatan khusus untuk Pusat Kanser Sarawak.
“Jadi pada peringkat Kerajaan Persekutuan, beberapa perkara Perdana Menteri telah minta supaya disusuli dengan mempercepat proses menyegerakan penyiapan Pusat Kanser Sarawak,” katanya.





























