
Selepas hampir 35 tahun, Klinik Kesihatan Gunung Besout, Sungkai, Perak akhirnya menerima sebuah ambulans baharu bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 9,000 penduduk felda.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi, Datuk A Sivanesan berkata sebelum ini klinik yang mula beroperasi pada 1986 itu hanya menggunakan ambulans lama yang diperoleh sekitar tahun 1990-an dan kini sudah uzur serta tidak lagi sesuai digunakan.
Menurutnya, isu kelewatan pembekalan ambulans berpunca daripada masalah perolehan di peringkat kementerian, sebelum akhirnya dapat diselesaikan dengan pembekalan ambulans jenis B.

“Ambulans jenis B ini mungkin tidak dilengkapi peralatan canggih seperti jenis A yang digunakan di hospital, namun ia mencukupi dan sesuai untuk kegunaan klinik kesihatan, khususnya bagi kes kecemasan dan pemindahan pesakit,” katanya.
Jelasnya, secara purata perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Gunung Besout digunakan sekitar satu kes sehari, melibatkan kira-kira 36 kes sebulan.
Kebanyakan pesakit dirujuk ke Hospital Slim River selain Ipoh dan Teluk Intan bagi kes tertentu.
“Felda Besout merupakan kawasan pedalaman dan kita tidak boleh menafikan keperluan mendesak penduduk di sini terhadap perkhidmatan ambulans yang cekap dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, pembekalan ambulans sama turut dilakukan di 16 klinik kesihatan lain seluruh negeri iaitu Tanjung Malim; Gunung Rapat; Batu 17; Kota Bharu; Menglembu; Lawin; Lenggong; Kuala Gula; Teluk Medan; Tanjung Piandang; Trong; Buntong; Hutan Melintang; Sungai Siput; Ayer Tawar dan Parit.
“Semua ambulans ini telah diterima dalam tempoh dua minggu lalu. Ada klinik yang menerimanya lebih awal, ada yang baru menerima beberapa hari lalu, namun kesemuanya kini sudah mempunyai ambulans baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan melalui Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) turut meluluskan beberapa projek pembinaan dan naik taraf fasiliti kesihatan di Perak, termasuk pembinaan Klinik Kesihatan jenis 2 di Tanjong Malim bernilai RM84.85 juta.





























