
Sekumpulan pelajar kejuruteraan dari Eindhoven University of Technology memperkenalkan ambulans berkuasa solar pertama di dunia, dinamakan sebagai Stella Juva.
Ia merupakan projek perintis yang mampu bergerak merentas kawasan terpencil tanpa grid untuk memberi rawatan kesihatan segera.
Solar Team Eindhoven bukan nama baharu dalam dunia mobiliti tenaga suria. Daripada kereta keluarga hingga off-roader, siri “Stella” sentiasa mencabar batas teknologi. Kali ini, fokus mereka beralih daripada pengangkutan pengguna kepada misi kemanusiaan.
Prototaip kerja yang didedahkan bulan lalu bukan ambulans kelajuan tinggi seperti di bandar. Ia direka sebagai klinik bergerak berdikari, lengkap dengan sistem tenaga sendiri.
Matlamatnya: membawa infrastruktur perubatan setaraf hospital kepada kira-kira 1 bilion penduduk dunia yang tinggal di kawasan terpencil tanpa jalan, elektrik atau bahan api.
Untuk menggerakkan trenkuasa off-road dan peralatan perubatan sensitif dalam keadaan ekstrem, pasukan 23 pelajar ini menggunakan teknologi solar lebih maju daripada panel biasa.
Nadi Stella Juva ialah panel All Back Contact buatan AIKO dari China. Semua sambungan elektrik dipindahkan ke bahagian belakang sel, membolehkan permukaan depan mampu menangkap lebih banyak cahaya walaupun ketika berawan.
Panel ini juga menggunakan sambungan tembaga dan proses tanpa perak untuk ketahanan lebih tinggi, mengurangkan risiko keretakan mikro akibat gegaran off-road. Tenaga disimpan dalam bateri 50 kWh untuk operasi malam atau cuaca buruk.
Stella Juva mampu bergerak sehingga 715 km sehari dan mencapai 120 km/j, semuanya dengan tenaga matahari.
Seni bina elektriknya memisahkan kuasa trenkuasa dan kabin perubatan. Jika bateri hampir habis, sistem akan mengutamakan peralatan perubatan supaya ia terus berfungsi. Tenaga bersih dihantar melalui inverter gelombang sinus tulen bagi mengelakkan kerosakan pada alat diagnostik.
Cabaran besar ialah membawa peralatan perubatan yang berat tanpa menjejaskan jarak pemanduan. Dengan penggunaan casis dan badan komposit gentian karbon gred aeroangkasa, berat keseluruhan hanya 1,350 kg – kurang separuh daripada ambulans biasa yang mencecah 3,500–6,350 kg.
Reka bentuk aerodinamik bentuk titisan membantu mengurangkan seretan angin. Di dalam kabin perubatan berhawa dingin, ia berfungsi seperti bilik kecemasan mini: mesin X-ray untuk saringan TB, ultrasound untuk penjagaan pranatal, ujian pantas malaria, AED, serta peti sejuk berkecekapan tinggi untuk vaksin dan ubat.
Walaupun tidak akan dihasilkan secara besar-besaran, Stella Juva ialah prototip bukti konsep dengan pelan kejuruteraan sumber terbuka – menunjukkan kepada industri automotif dan organisasi kesihatan global bahawa ambulans sifar emisi tanpa grid adalah realistik.
Solar Team Eindhoven sebelum ini pernah memenangi World Solar Challenge empat kali, membina camper solar Stella Vita pada 2021, dan pada 2023 menghasilkan off-roader solar pertama dunia, Stella Terra, yang merentas 1,000 km dari Maghribi ke Sahara.
Bulan ini, Stella Juva akan dihantar ke Kenya untuk ujian medan sebenar bersama NGO Amref Health Africa. Mereka akan menguji kenderaan ini dalam senario perubatan sebenar di laluan mencabar, dengan harapan teknologi ini dapat mengubah cara penjagaan kesihatan luar bandar di seluruh dunia.



































