
Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) melabur kira-kira RM300 juta bagi kemudahan Paint Shop 3 (PS3), sekali gus menggandakan kapasiti pengecatan syarikat kepada 100,000 badan kenderaan setahun.
PS3 yang dilancarkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, adalah antara pelaburan pemasangan automotif terbesar Sime setakat ini.

Kemudahan di Kulim itu direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun berdasarkan operasi dua syif, pada kadar 15 unit sejam.
Dengan tambahan kapasiti berkenaan, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan Inokom kini mencecah 100,000 badan kenderaan bercat setahun.
Pengembangan itu meningkatkan kesediaannya memenuhi permintaan pasaran serta menyokong pelbagai model kenderaan, selain menawarkan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran pada masa depan.
Pengarah Inokom Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Ben Yeoh berkata, PS3 mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap pembangunan keupayaan tempatan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan industri automotif negara.
“Inokom terus berkembang seiring dengan Dasar Automotif Nasional Malaysia.
“Bermula sebagai sebahagian daripada aspirasi pembangunan industri automotif negara, kami telah membangun menjadi rakan pemasangan yang dipercayai oleh jenama automotif global,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kemudahan itu dibina dan dikendalikan sepenuhnya tenaga kerja Malaysia, selain mencerminkan keyakinan Sime terhadap industri automotif serantau dan keupayaan tenaga kerja tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perniagaan Pemasangan dan Strategik Sime Motors, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, PS3 meningkatkan kapasiti pengecatan dan fleksibiliti pengeluaran Inokom.

Katanya, kemudahan itu direka dengan automasi canggih, kesediaan untuk penggunaan cat berasaskan air pada masa depan serta ciri kelestarian.
“PS3 membolehkan Inokom menyokong program kenderaan masa hadapan sambil mengekalkan standard tinggi dari segi kualiti, kecekapan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Sebahagian besar operasi PS3 menggunakan automasi, termasuk sistem pra-rawatan dan elektro-pemendapan automatik sepenuhnya, bilik semburan cat berteknologi tinggi serta sistem penghantar bersepadu.
Kemudahan itu dilengkapi 32 robot pengecatan dan pengedap bagi membolehkan aplikasi cat berketepatan tinggi pada permukaan luaran, dalaman serta komponen plastik.
Ia turut menggunakan sistem Cartridge Bell yang membolehkan pertukaran warna dilakukan dalam tempoh kurang 10 saat dan menyokong sehingga 27 variasi warna.
Selain itu, PS3 menggunakan proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran yang bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga dan memendekkan masa pemprosesan.
Pembangunan kemudahan itu turut membabitkan kerjasama dengan pasukan sokongan teknikal dan pakar kejuruteraan Mazda menerusi pemindahan pengetahuan, latihan serta bimbingan teknikal kepada kakitangan Inokom.
Dari aspek kelestarian, PS3 dilengkapi sistem Regenerative Thermal Oxidiser yang menurut syarikat mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga kira-kira 60 peratus.

Kemudahan itu turut menggunakan sistem penapisan dry scrubber yang menghapuskan penggunaan air dalam operasi bilik semburan cat serta mempunyai kesediaan untuk penggunaan cat berasaskan air.
Inokom yang juga anak syarikat Sime Darby Bhd di bawah Divisyen Motors mengendalikan kemudahan pembuatan di Kulim, Kedah yang mula beroperasi pada 1997.































