Sime Darby beli 61.2 peratus kepentingan UMW Holdings, pemegang majoriti dalam Perodua dan Toyota

565

Konglomerat Sime Darby Bhd, membeli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada RM3.57 bilion secara tunai, untuk mempertingkatkan dan memperkukuh kehadirannya dalam sektor automotif Malaysia.

Langkah itu, yang menjadi antara perjanjian penggabungan dan pembelian terbesar di Malaysia, akan mentransformasikan Sime Darby secara strategik menjadi peserta automotif terkemuka di negara ini dengan penambahan jenama pasaran massa volum tinggi iaitu menerusi Toyota dan Perodua, menguasai sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif domestik.

Antara jenama yang diwakili Sime Darby

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pembelian itu akan melengkapkan portfolio premium hingga mewah sedia ada Sime Darby iaitu BMW, Rolls-Royce dan Porsche.



Menerusi pembelian itu, yang lebih penting, akan membolehkan syarikat meningkatkan skala operasinya di Malaysia, mengimbangi sebarang risiko geopolitik dalam rantau ini daripada dua pasaran utamanya iaitu China dan Australia.

 

Beliau menjangkakan sumbangan perolehan mengikut negara selepas transaksi itu adalah kira-kira 30:30:30, daripada 15:37:35 pada masa ini sekali gus menawarkan profil yang lebih stabil.

“UMW sudah pun menjadi peserta automotif yang dominan dengan menguasai 52 peratus bahagian pasaran tempatan, dan langkah pembelian itu dijangka menjadikannya sehingga 55 peratus.

“Entiti yang diperbesarkan itu akan mencipta nilai lebih besar untuk semua pemegang kepentingan kami dan membolehkan kami sebagai syarikat multinasional Malaysia melaksanakan peranan lebih baik dalam mengembangkan industri automotif negara,” katanya.

Jeffri berkata susulan perjanjian penjualan saham (SPA) bersyarat yang ditandatangani dengan PNB hari ini, pihaknya akan mendapatkan persetujuan daripada kalangan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa November ini.

Beliau berkata, transaksi RM3.57 bilion, berdasarkan RM5 sesaham mengikut SPA itu adalah keuntungan bersifat tambahan dan akan memberi manfaat kepada pemegang saham Sime Darby serta pemegang unit PNB dalam jangka masa panjang.

Peluang dan keupayaan lebih besar

Jeffri berkata pembelian itu juga akan membolehkan Sime Darby mengakses ekosistem Toyota dan menambah satu lagi nama kepada jenama-jenama kukuhnya, sekali gus mewujudkan peluang baharu untuk syarikat berkembang di wilayah geografi baharu.

Langkah ini juga akan menguatkan lagi segmen bermargin tinggi syarikat seperti kereta terpakai, selepas jualan dan pemasangan, susulan volum besar yang di bawah penguasaan syarikat.

“Selain memperluas asas keuntungan kami, kehadiran operasi kami di bahagian lain pada rantaian nilai akan mewujudkan daya tahan terhadap perubahan model runcit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata transaksi itu akan membawa Toyota Forklifts — di bawah Toyota Industries Corporation (TICO) — ke dalam portfolio Sime Darby, dan ini memberikannya pendedahan kepada perniagaan pengendalian barangan yang berkembang pesat yang didorong oleh ledakan e-dagang.

“Pengendalian barang akan menambah satu lagi dimensi kepada bahagian perindustrian, untuk melengkapkan pendedahan perlombongan dan pembinaan kami,” katanya.

Jeffri berkata bagi Perodua, ia menguasai bahagian pasaran yang dominan dalam industri automotif tempatan dan merupakan komponen nilai terbesar dalam transaksi itu.

Nyahsenarai UMW dalam pertimbangan

Jeffri berkata pembelian itu akan dibiayai terutama oleh pinjaman bank dan dana dalaman.

“Kami akan meneliti untuk mengurangkan tahap kadar hutang kami menerusi penjualan strategik aset bukan teras,” katanya.

Apabila perjanjian itu berubah kepada tanpa syarat, beliau berkata Sime Darby akan membuat tawaran am untuk membeli baki 38.8 peratus pegangan dalam UMW dengan tujuan menyahsenarai UMW daripada Bursa Malaysia.

Beliau berkata syarikat menjangkakan pembelian ke atas UMW Holdings dapat diselesaikan pada akhir Februari 2024.

Beliau berkata syarikat itu akan melakukan semakan teliti dan menyeluruh terhadap portfolio jenama UMW untuk menilai keserasian berbanding portfolio sedia ada di samping memastikan Sime Darby mengekalkan spektrum produk dan perkhidmatan yang kukuh dengan tujuan terus meningkatkan nilai bagi pemegang saham.

“Kami amat mengambil berat mengenai komitmen kami kepada semua prinsipal. Kami akan menguruskan setiap jenama secara berasingan dan terus berkembang berasaskan kerja cemerlang dengan semangat berdaya usaha dan minda berfikiran ke hadapan.

“Antara langkah pertama dalam pelan penyepaduan pascapembelian adalah memberi tumpuan kepada peralihan dan penyepaduan yang lancar di samping memanfaatkan kelebihan kedua-dua syarikat dan semua jenama di dalamnya,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here