Utama Berita Automotif “Saya menyesal tak dapat tolong ayah kawan,” kisah di sebalik hero iringi...

“Saya menyesal tak dapat tolong ayah kawan,” kisah di sebalik hero iringi ambulans

7

Seorang penunggang motosikal nekad membantu mengiringi sebuah ambulans melalui kesesakan jalan raya kerana pernah melalui situasi yang sama namun tidak sempat menyelamatkan bapa rakannya. 

Tindakan murni pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Visual di Universiti UCYP, Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, 23 itu bukan sahaja meraih pujian pengguna di media sosial, malah membuktikan masih ramai dalam kalangan rakyat di negara ini yang berhati mulia.

Mengimbau peristiwa dua tahun lalu, Tuan Nurhan menceritakan perkara yang pernah dilalui sehingga menjadikannya seorang yang sangat peka dengan situasi kritikal di jalan raya.

“Waktu itu ada ambulans di sekitar saya sedang menghadapi kesesakan jalan yang sangat teruk, tetapi tidak sempat melakukan apa-apa untuk membantu kerana rasa saya masih kurang ilmu dan takut membahayakan orang lain.

“Namun, sebaik tiba di rumah, saya dapat berita sedih mengenai bapa kepada rakan saya yang kebetulan berada di dalam ambulans tersebut telah meninggal dunia. Ia berpunca daripada kelewatan tiba di hospital akibat tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

“Saya dah menyesal sekali. Jadi untuk hal yang melibatkan nyawa orang, saya tekad nak tolong walaupun saya tak kenal. Saya betul-betul berniat untuk mudahkan urusan orang,” katanya kepada Sinar Harian.

Video berdurasi 1 minit 27 saat yang tular sejak Selasa itu menunjukkan Nurhan Syafiy mengiringi sebuah ambulans bermula dari Jaya Gading sehingga ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang. 

Mengulas lanjut, Nurhan Syafiy berkata semasa dalam perjalanan pulang dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang, beliau mendapati sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Chini. 

Jelasnya, aliran trafik yang perlahan bermula dari Simpang Gambang sehingga ke Batu 10 pada waktu kemuncak menimbulkan hasratnya untuk membantu buka laluan kepada kenderaan perubatan tersebut.

Ujar beliau, sepanjang tempoh 45 minit perjalanan itu tidak semudah yang disangka, tambahan pula apabila dirinya terpaksa menghadapi sikap segelintir pemandu yang kurang peka semasa di jalan raya.

“Saya terpaksa turun dari motosikal untuk memberikan arahan kepada pemandu lain sebab ada yang leka dengan telefon bimbit. Mungkin juga disebabkan semua orang nak cepat balik rumah. 

“Sambil menunggang motosikal, saya sempat menangis sebab tak tahu keadaan mangsa dan saya selalu terfikir bagaimana kalau pesakit di dalam itu adalah ahli keluarga saya sendiri.

“Minyak motor saya sebenarnya dah nak habis dan tak sempat diisi sebelum mulakan perjalanan. Saya tertanya juga sama ada sempat atau tidak untuk sampai ke tempat yang dituju ambulans itu.

“Tapi saya teruskan juga sambil berdoa agar ALLAH selamatkan pesakit dan mudahkan urusan saya,” katanya. 

Sementara itu, pegawai perubatan di dalam ambulans berkenaan, yang ingin dikenali sebagai Dr Fadzlin, 33, menjelaskan, pesakit bayi tersebut mengalami sesak nafas akut akibat jangkitan paru-paru dan terpaksa diberikan bantuan oksigen tahap maksimum.

“Hospital paling dekat adalah HTAA. Itupun mengambil masa satu jam paling cepat kalau jalan tidak sesak. Disebabkan pesakit masih tidak stabil dan bernafas laju, kami perlu membawanya ke hospital dengan kadar segera.

“Adik ini (Tuan) bantu iringi ambulans dari sebelum Jaya Gading sampai betul-betul lalu pintu masuk HTAA. Kalau bukan asbab beliau, kami tersangkut lama dalam kesesakan dan memberi kesan kepada bayi yang tidak stabil ini,” katanya. 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here