
Cubaan tiga suspek warga Indonesia melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan polis gagal apabila Honda HR-V yang dinaiki terbabas lalu merempuh tiang lampu berhampiran Bank Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari itu sepasukan anggota rondaan cegah jenayah cuba menahan SUV itu yang dikesan dalam keadaan mencurigakan sekitar Chow Kit.
“Suspek bertindak agresif apabila merempuh anggota polis yang cuba melakukan pemeriksaan sebelum melarikan diri menuju ke Jalan Kuching dan memasuki kawasan berhampiran Bank Negara.
“Ketika melarikan diri, suspek melanggar beberapa kenderaan awam dan sebuah motosikal sebelum anggota kami berjaya mengejar dan menyekat SUV itu,” katanya.

Jelas beliau, kemudian HR-V itu terbabas lalu merempuh tiang lampu dan sebatang pokok, sebelum pemandunya keluar dari kenderaan dan nekad terjun dari tebing curam berdekatan untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila suspek cedera akibat terjatuh dari cerun tersebut. Seorang lagi suspek ditahan ketika cuba menyorok di dalam kawasan hutan berhampiran, manakala suspek ketiga tidak sempat melarikan diri.
“Dua suspek yang cedera telah dihantar ke hospital, manakala seorang lagi dibawa ke balai untuk tindakan lanjut. Anggota kami yang dirempuh turut mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kenderaan berkenaan milik seorang lelaki tempatan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ia dicuri atau terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.
“Kita masih menyiasat motif mereka melarikan diri. Semua kemungkinan sedang diteliti dan soal siasat akan dilakukan terhadap kesemua suspek,” katanya.






























