Usaha cari kotak hitam, naikkan bangkai helikopter perlukan bantuan agensi pakar

75

Usaha untuk mencari kotak hitam dan menaikkan bangkai helikopter yang terhempas ke dalam Sungai Pulai memerlukan bantuan serta kepakaran khusus daripada pelbagai agensi lain. 

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut berkaitan pencarian kotak hitam helikopter bagi membantu siasatan punca kejadian.

“Kita masih menunggu maklumat daripada kotak hitam. Usaha sedang dibuat dengan melibatkan beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Maritim Malaysia dan lain-lain yang mempunyai kepakaran,” katanya.

Jelasnya operasi menaikkan bangkai helikopter juga dijangka mengambil masa kerana memerlukan bantuan daripada pihak yang berkemahiran dalam kerja-kerja dasar sungai.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia perlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga.

“Saya dimaklumkan kedalaman sungai ini kira-kira 25 kaki, itu juga menjadi cabaran besar untuk timbulkan bangkai helikopter,” katanya. 

Sementara itu, beliau memaklumkan lima mangsa nahas iaitu tiga lelaki dan dua wanita telah menerima rawatan segera dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga lagi dilaporkan stabil.

“Seorang lelaki dan seorang wanita yang kritikal kini dirawat dan stabil.

“Keputusan imbasan MRI mereka belum keluar, jadi saya minta supaya jangan buat spekulasi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan pegawai serta anggota yang terlibat terus dijaga.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here