
Sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam kemalangan pagi tadi ketika menjalani simulasi lintas hormat sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, kira-kira 35km dari Johor Bahru.
Insiden itu berlaku di perairan berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), iaitu lokasi latihan yang melibatkan empat negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.
Menurut CAAM helikopter yang dikendalikan oleh PDRM itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.
“Kesemua lima mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.
“Mangsa kini sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut perubatan,” menurut kenyataan itu.
CAAM memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.