
Malaysia berhasrat membeli pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut daripada Itali bagi memperkukuh keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembelian itu akan melibatkan dua pesawat pemantau maritim (Maritime Patrol Aircraft) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di samping 28 helikopter Leonardo AW149.
Beliau berkata syarikat Fincantieri pula dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi-Role Support Ship) (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (Littoral Mission Ship) (LMS).
“Pembelian aset tentera ini akan membantu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan Itali yang terkenal dengan industri ketenteraan,” katanya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut hadir dalam rangka lawatan itu berkata pembelian itu akan diperincikan agar Malaysia turut mendapat manfaat dari segi pemusatan latihan dan sebagainya.
Mohamed Khaled berkata pada peringkat awal, penerbangan pesawat maritim itu dijangka menggunakan lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.
Jelasnya, Malaysia juga telah mencadangkan agar pembelian aset-aset itu dilakukan melalui perjanjian perolehan kerajaan kepada kerajaan (G to G).
“Ini akan membantu kita mendapatkan harga yang lebih baik dan jaminan aset daripada kerajaan Itali,” katanya.
Kementerian Pertahanan juga mencadangkan agar kedua-dua negara menerokai bidang baharu dalam sektor pertahanan antaranya kecerdasan buatan (Al) dan pusat kawalan keselamatan bawah laut.