
Badan Pencegahan Rasuah (BPR) merampas wang tunai sebanyak IDR 2.8 bilion (RM729,991) dari rumah Ketua Jabatan Kerja Raya dan Penataan Ruang (PUPR) Sumatera Utara, Topan Obaja Ginting yang dipercayai memiliki kaitan dengan projek pembinaan jalan raya di Sumatera Utara.
“Dalam aktiviti penggeledahan di rumah suspek Topan, wang sejumlah IDR2.8 bilion tersebut dipercayai memiliki kaitan dengan projek-projek yang telah dilaksanakan atau projek-projek pembinaan jalan raya pada masa lalu,” kata jurucakap BPR, Budi Prasetyo.
Beliau berkata isu tersebut berkaitan dengan kualiti jalan raya yang teruk di Sumatera Utara yang mana sebahagian wang pembinaan jalan raya di kawasan tersebut telah diseleweng.
“Ini mengesahkan bahawa kualiti infrastruktur jalan raya di Sumatera Utara tidak bagus, ya kerana sebahagian anggaran yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya tersebut telah dirasuah.
“Jadi, kami yakin ini juga mendapat respons positif dari masyarakat Sumatera Utara, khususnya sebagai pengguna jalan raya di sana. Kerana, memang masyarakatlah yang terkesan secara langsung dari kualiti-kualiti pembangunan, termasuk kualiti projek jalan raya di sana,” katanya.
Aktiviti operasi tangkap tangan (OTT) BPR tersebut menyasarkan projek jalan raya di Sumatera Utara yang telah diselesaikan dan akan datang.
Budi berharap agar pendedahan itu akan membawa kepada penambahbaikan mekanisma dan peruntukan anggaran pembinaan jalan raya di Sumatera Utara.
“Harapannya projek-projek ke hadapan dapat dilaksanakan dengan mekanisme yang betul dan anggarannya benar-benar digunakan untuk pembinaan jalan raya sehingga kualitinya menjadi bagus,” katanya.
Topan merupakan suspek dalam kes dugaan rasuah dalam pembinaan jalan raya di Jabatan PUPR Sumatera Utara dan Satuan Kerja (Satker) Pembangunan Jalan Nasional (PJN) Wilayah 1 Sumatera Utara.
Dalam kes berkenaan, BPR telah menetapkan lima orang suspek yang terlibat.
ARTIKEL LAIN
Kerana rasuah, jalan tol di Indonesia ini tidak selamat dilalui kenderaan berat