Utama Berita Automotif Polis tahan ejen tarik kereta, halang jalan di PLUS

Polis tahan ejen tarik kereta, halang jalan di PLUS

2847

Polis menahan seorang daripada tiga pemilik kereta yang didapati menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi. 

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan di sekitar Seremban kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek merupakan ejen tarik kereta dan bertindak demikian kerana mahu menarik sebuah kereta. Mereka tahan sekejap sahaja.

“Seorang daripada pemilik tiga kenderaan itu telah ditahan dan kami sedang memburu suspek lain yang masih bebas,” katanya pada Khamis.

Pada Rabu tular video berdurasi 35 saat memaparkan tiga buah kereta menghentikan kenderaan mereka secara melintang di laluan lebuh raya sehingga menghalang pergerakan trafik.

Hasani berkata, kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 279 dan 341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap sebarang tindakan yang mengganggu keselamatan dan kelancaran trafik.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519, atau menghubungi terus Bilik Gerakan IPD Rembau di 06-6851999.

ARTIKEL LAIN

HAK ANDA! 7 situasi ini tidak benar kenderaan ditarik akibat tertunggak bayaran

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here