Ah long berlesen ‘cekik darah’ caj tarik kereta cecah RM16,000

381

Sebuah syarikat pinjaman wang berlesen bertindak zalim apabila mengenakan caj sehingga RM16,000 daripada tunggakan sekitar RM3,000 selepas menarik SUV milik seorang lelaki tempatan yang tertangguh bayaran dua bulan.

Gambar hiasan

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Haris berkata, awalnya dia mendapat panggilan telefon daripada isteri yang sedang membawa tiga anaknya berusia tujuh hingga 15 tahun balik dari sekolah di Jalan Kuching, 31 Mac lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu berkata, isterinya yang menggunakan kereta itu didatangi dua lelaki secara agresif mengatakan mahu menarik kereta itu manakala dua individu lagi berada di dalam kereta mereka.



“Saya ada masalah kewangan ketika itu dan cuba berunding dengan mereka ketika menghubungi isteri saya, namun mereka mengatakan hanya menurut perintah daripada syarikat.

“Isteri dan anak yang panik hanya mengikut sahaja, mereka diturunkan berhampiran kawasan rumah sebelum membawa kereta ke gudang simpanan milik syarikat tersebut dan diberikan kepada saya dokumen bayaran yang perlu diselesaikan,” katanya. 

Mendedahkan pengisian dokumen, tunggakan pinjaman (RM3,200.82), faedah tunggakan (RM59.57), kos penyelenggaraan (RM5,000), kos pemilikan semula (RM5,000), kos penghantaran semula (RM5,000) dan jumlah keseluruhan (RM16,760.39).

Menurut Haris, dia menyedari ada caj yang tidak masuk akal seperti tunggakan dua bulan sahaja namun caj tambahan yang dikenakan kepadanya melebihi bayaran sepatutnya.

“Untuk tunggakan dua bulan sepatutnya RM2,400 sahaja tetapi caj dikenakan sehingga RM3,200, kereta saya sepatutnya tidak perlu ditarik kerana sudah 85 peratus bayaran selesai dan mana boleh tarik kereta macam itu sahaja, notis peringatan tidak diberikan selepas itu notis dari mahkamah juga tidak ada ketika tarik kereta, ini menindas pengguna.

“Saya selesai bayar tunggakan RM3,600 tersebut tetapi dipaksa selesaikan semuanya untuk dapatkan kereta, pergerakan anak dan isteri terbatas sejak perkara ini terjadi, disebabkan itu saya rujuk dengan PPIM,” jelasnya. 

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan tidak masuk akal mengenakan cas berlipat kali ganda perlu disoal atas kapasiti apa caj itu boleh berlaku.

Jelas Nadzim, dia mengarahkan lelaki itu tidak membuat bayaran secara penuh bagi mengelakkan diri daripada ‘mempersetujui’ perjanjian itu tanpa sedar.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here