Polis terpaksa campur tangan situasi tegang ‘BMW kena tarik’, ini cerita sebenar pemilik

11789

Hujung minggu lalu, tular di media sosial apabila seorang pemilik akaun Facebook Dina Abdul Rahman berkongsi situasi tegang apabila kereta BMW miliknya ditarik ejen. 

Susulan keadaan tidak terkawal pihak polis terpaksa campur tangan dan menurut perkongsian Dina tiada isu tunggakan kerana pembayaran dilakukan setiap bulan.



Justeru itu, dia hairan adanya ansuran bulanan tertunggak selama lapan bulan dan pihak bank mengeluarkan surat RO (Repossessing Order) kepada penarik kereta. 

“Eh gila pula otak memikir, tak pernah miss langsung bayar bulanan, duit bayaran tiap-tiap bulan direct bank pi ke mana pun tak taulah.

“Tadak option apa dah, kami buat pilihan panggil polis mai untuk settel down,” katanya menambah kereta tersebut dibawa ke balai kerana menjadi kes polis. 

Oleh kerana kejadian berlaku pada hujung minggu Dina perlu menunggu hari bekerja bagi menyelesaikan masalah dengan pihak bank. Selain itu pada hantaran berbeza, Dina menjelaskan BMW itu merupakan kereta sambung bayar milik sepupunya.

“Kami diamanahkan untuk habiskan bayaran dan tukar hak milik, bayaran direct CIMB bank, hire purchase atas nama owner,  RM1150 monthly dan 16 bulan macam tu nak habis dah.
 
“Kami memang nak selesaikan cara cashje dalam tahun ni, tapi tula tak dan nak cash CIMB keluar RO, pelik juga bayaran elok ni,” kongsinya yang turut memuatnaik gambar resit bayaran bulanan. 
 
Sementara itu, menerusi tinjauan di Facebook Dina masih tiada hantaran terkini berkaitan urusan dengan pihak bank namun pada bahagian komen Dina menjelaskan masih menunggu berita daripada pemilik kereta.
 
“Saya masih menunggu update dari penama kereta yang hari ini (Isnin) akan berurusan di CIMB bank KL. Saya di Kedah jadi tunggu update dari pihak sana,” jawabnya.

CARA BERDEPAN EJEN TARIK KERETA

Kejadian berkenaan boleh dijadikan iktibar buat anda tentang risiko mengambil kereta sambung bayar selain menghadapi penarik kereta.
 
Perlu diingatkan apabila berdepan situasi sedemikian, ejen penarik kereta tidak boleh mengambil kenderaan dalam pagar kediaman dan pada hari cuti umum. Penarik kereta juga tidak boleh melakukan kekerasan.
 
Sekiranya kereta diparkir di kawasan awam, ejen hanya boleh menarik kereta waktu pejabat dan pada hari bekerja sahaja.
 
Ejen juga perlu mengemukakan surat arahan tarik dari institusi kewangan dan perintah Mahkamah sekiranya kenderaan yang ditarik membuat bayaran melebihi 75 peratus daripada pinjaman kenderaan.
 

Ejen penarik kenderaan perlu mempunyai Kad Autoriti Ejen Perolehan Semula (EPS) daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bukannya kad kuasa daripada pihak bank misalnya CIMB dalam kes ini.

Sementara, bagi pemilik pula catatkan nama ejen, nombor permit, nama dan alamat bank serta tempat simpanan kereta selepas ditarik.
 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 
 
 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here