Utama Berita Automotif Tiada lagi ‘wildcard’, MotoGP mansuh pelumba jemputan bermula 2027

Tiada lagi ‘wildcard’, MotoGP mansuh pelumba jemputan bermula 2027

6

Satu siri rombakan terhadap peraturan MotoGP diumumkan susulan mesyuarat Suruhanjaya Grand Prix minggu ini, termasuk penamatan penyertaan pelumba wildcard dalam siri tersebut.

Selepas beberapa mesyuarat diadakan oleh suruhanjaya sepanjang Mac dan April, kemas kini peraturan MotoGP telah diluluskan. Beberapa perubahan akan berkuatkuasa serta-merta, manakala selebihnya akan dilaksanakan pada 2027 seiring dengan peraturan teknikal baharu.

Salah satu perubahan yang paling menarik perhatian ialah bermula musim hadapan, wildcard akan lenyap daripada MotoGP.

“Pelumba wildcard dalam kelas MotoGP tidak lagi dibenarkan bermula musim 2027 dan seterusnya. Ini akan terpakai kepada semua pengeluar, tanpa mengira kedudukan konsesi mereka,” kata Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dalam satu kenyataan.

Langkah ini akan dikuatkuasakan pada 2027 dan bermakna legenda kejohanan, Dani Pedrosa terpaksa bersara sepenuhnya – walaupun beliau menyatakan beberapa hari lalu tidak akan berlumba lagi.

Bagaimanapun, sebelum ini masih ada harapan untuk melihat beliau di atas jentera sekali lagi sebagai tetamu di KTM, bersama rakan sepasukannya, Pol Espargaro, sebagai pelumba pengganti.

Kini, pelumba yang telah bertukar kerjaya sebagai pengulas TV itu hanya boleh berlumba semula jika menggantikan pelumba yang cedera.

Satu lagi pengumuman, bukanlah perubahan peraturan tetapi ketetapan khas yang mana tiada pengeluar tanpa mengira kedudukan konsesi, dibenarkan bertanding menggunakan mana-mana pelumba wildcard pada musim 2026 dengan menggunakan jentera prototaip 2027.

“Wildcard MotoGP 2026 tidak dibenarkan menggunakan jentera 2027 berkuat kuasa serta-merta.

“Penyertaan wildcard dalam kelas MotoGP pada 2026 tidak dibenarkan menjalankan jentera spesifikasi 850cc tahun 2027, tanpa mengira kedudukan konsesi pengeluar,” kata FIM. 

Satu lagi keputusan yang diambil oleh Suruhanjaya Grand Prix adalah mengekalkan sistem pemantauan tekanan tayar bagi musim depan. Pengesahan itu dibuat meskipun sebelum ini telah diumumkan secara tidak rasmi bahawa dengan ketibaan pembekal tayar baharu, Pirelli sistem kontroversi ini akan ditamatkan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here