
Sebuah jentera Grand Prix paling bersejarah yang pernah muncul di UK bakal dilelong di Bonhams Spring Stafford Sale pada 26 April sempena International Classic MotorCycle Show.
Ia merupakan sebuah Suzuki RG500 XR14 Barry Sheene yang pernah menjuarai Kejuaraan Dunia tahun 1977.
Jentera XR14 dengan kerangka bernombor 1201 merupakan salah satu daripada hanya dua jentera kilang yang digunakan Sheene untuk mempertahankan gelarannya pada 1977 — dan inilah motosikal yang ditunggangnya melintasi garisan penamat pada pusingan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan 500cc keduanya.
Sebuah lagi jentera kembar masih disimpan keluarga Sheene. Motosikal ini pula dikatakan tidak pernah dipamerkan kepada umum hampir 40 tahun.
Menjelang pertengahan era 70-an, Sheene bukan sekadar pelumba GP — beliau ikon nasional, setaraf populariti dengan bintang F1 era ‘playboy’ James Hunt.
Menariknya, gelaran 1976 Sheene hampir tidak berlaku apabila Suzuki menghentikan operasi pasukan GP mereka.
Untuk menyelamatkan keadaan, pengimport Suzuki UK mengambil alih dan menubuhkan pasukan Texaco Heron. Sheene membalas kepercayaan itu dengan lima kemenangan dan mengesahkan kejuaraan lebih awal.
Tahun berikutnya, Sheene dan pasukan Texaco Heron meraih enam kemenangan daripada 11 pusingan, mengatasi pelumba Amerika, Steve Baker (Yamaha YZ500) dengan kelebihan 27 mata.
Bonhams mengesahkan motosikal ini akan dilelong tanpa harga simpanan, dengan anggaran antara £160,000 hingga £200,000 (RM845k-RM1.06 juta).
Lelongan motosikal ini akan berlangsung pada 26 April di Stafford Sale – The International Classic Motorcycle Show, Stafford, UK.


































