
Pengerusi Great Wall Motor (GWM), Wei Jianjun mengeluarkan video permohonan maaf secara rasmi pada 6 Mac lalu susulan dakwaan bahawa poster promosi Wey V9X telah plagiat bahan kreatif Land Rover.
Pengerusi tersebut mengesahkan bahawa siasatan dalaman mendapati wujudnya plagiat 1:1 tanpa kebenaran daripada kempen asal yang dihasilkan untuk Range Rover Sport pada 2025, menurut laporan IT-home.
Jianjun menyatakan bahawa GWM akan bertanggungjawab sepenuhnya baik daripada segi undang-undang dan ekonomi akibat daripada pelanggaran hak cipta tersebut.
Pencipta asal bagi kempen “Hidden Force” Range Rover Sport sebelum ini mendedahkan persamaan tersebut di media sosial dengan menunjukkan latar belakang merah gelap, kelompok pencahayaan, dan kedudukan subjek yang sama.

Jenama premium GWM, Wey sebelum ini pernah berdepan penelitian yang sama pada awal 2025 apabila rakaman promosi untuk MPV Gaoshan dibandingkan dengan iklan Lexus.
Namun, ini merupakan kali pertama Pengerusi syarikat tersebut mengesahkan sendiri dakwaan berkenaan dan mengeluarkan permohonan maaf rasmi.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wey, Zhao Yongpo turut mengeluarkan permohonan maaf secara berasingan dan menyifatkan insiden tersebut sebagai satu pengabaian tugas yang serius.
Sebagai ketua eksekutif jenama, Zhao mengambil tanggungjawab peribadi dengan menyatakan tiada alasan atas kegagalan menghormati idea pencipta asal.
Beliau mengesahkan bahawa semua bahan promosi yang melanggar hak cipta telah diturunkan daripada platform rasmi dan menegaskan walaupun konsep kreatif boleh dijadikan rujukan, harta intelek asli mestilah dihormati.
Wey V9X merupakan sebuah SUV utama enam tempat duduk yang bersaing dengan Aito M9 dan Li L9.




















![[Video] Bukan biasa-biasa, iklan Proton Saga Mesir tayang aksi ‘drift’](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/07/Proton-Saga-218x150.png)










