Utama Berita Automotif RM318k untuk sebuah Suzuki ikonik, lelaki ini nekad bida Yoshimura 604

RM318k untuk sebuah Suzuki ikonik, lelaki ini nekad bida Yoshimura 604

29

Jentera lengkap Yoshimura GSX-R750 604 yang dipamerkan di Pertunjukan Motosikal Tokyo (2025) mencuri perhatian ramai dan telahpun dipinang pada harga JPY 12.41 juta (RM318,068), Oktober lalu.

Baru-baru ini, WeBike Japan menemubual pemilik jentera berkenaan pada majlis penyerahan yang diadakan 11 Januari lalu. 

Pembida yang berjaya tersebut merupakan Pengarah Urusan Nara Suzuki Sales Co. di Bandar Kashihara, Wilayah Nara, Shinichi Okamoto.

Syarikat beliau merupakan pengedar sah Suzuki di bawah Kumpulan G-Lion dan turut mengendalikan SBS Nara Kashihara yang menjual motosikal Suzuki.

Pada majlis penyerahan itu, Presiden Yoshimura, Yohei Kato dan pelumba asal yang menunggang jentera 604, Satoshi Tsujimoto turut hadir untuk menyerahkan kunci edisi khas dan hadiah peringatan kepada Okamoto.

Di hadapan jentera itu, Okamoto kelihatan sangat emosional. Walaupun harga bidaan mencecah JPY12,410,000, apakah yang membuatkan beliau begitu nekad untuk meminang jentera itu?. 

Minat Sejak Usia 19 Tahun

“Apabila saya melihat maklumat bahawa jentera 604 ini akan dilelong, saya tahu saya mahukannya tidak kira sama ada ini satu keputusan perniagaan atau tidak,” kongsinya yang mendedahkan pernah menyertai perlumbaan motosikal semasa muda dan merupakan bekas kakitangan Suzuki.

GSX-R750 yang ditunggang Tsujimoto pada masa itu adalah motosikal yang sangat diidamkan oleh pelumba.

“Ketika Yoshimura GSX-R asal dilelong dahulu, saya baru berusia 19 tahun,” jelasnya. 

Okamoto pernah berlumba dari usia 18 hingga 24 tahun, termasuk menyertai perlumbaan ketahanan Suzuka 4-Hour. Beliau akhirnya berhenti berlumba selepas melihat kehebatan pelumba kelas A antarabangsa seperti Tsujimoto dari dekat.

Kualiti Buatan Tangan Yang Tiada Galang Ganti

Walaupun telah berhenti berlumba, minatnya tidak pernah padam. Beliau malah berusaha menjadikan kedainya sebagai “Yoshimura Partner Shop” dengan bertemu terus Presiden Kato di Litar Suzuka.

“Sebelum membeli jentera ini, kami mendengar tentang kesukaran dalam penghasilannya. Memandangkan alat ganti tulen GSX-R750 hampir tiada lagi di pasaran, kakitangan Yoshimura menghasilkan setiap komponen secara manual.

“Setiap skru dan berat bahagiannya adalah replika sempurna jentera asal. Saya percaya motosikal yang dibina dengan kerja keras sebegini bernilai lebih daripada harga beliannya,” katanya. 

Bidaan Yang Mendebarkan

Jentera replika tersebut akan dipamerkan di SBS Nara Kashihara untuk tatapan ramai dan bagi menarik minat penunggang muda.

Namun, Okamoto mengakui beliau juga mahu menunggangnya secara peribadi.

“Saya pasti pekerja saya akan cuba menghalang saya (ketawa),” katanya.

Semasa menghidupkan enjin di hadapan peminat, tangan beliau kelihatan sedikit menggigil.

“Saya gemuruh, tetapi kegembiraan saya lebih besar. Lelongan itu sepatutnya tamat pada 11.30 pagi, tetapi bidaan berterusan sehingga jam 4 petang. Saya sedang bekerja pada hari itu, jadi saya meminta pengurus saya untuk membida sehabis baik kerana saya akan membelinya dengan wang saya sendiri,” ujarnya. 

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here