Utama Berita Automotif Volkswagen ID. UNYX 08, EV hasil kerjasama Xpeng, bukti kehebatan China Speed!

Volkswagen ID. UNYX 08, EV hasil kerjasama Xpeng, bukti kehebatan China Speed!

6

Volkswagen Group dan Xpeng kini mula menuai hasil kerjasama strategik mereka menerusi pengeluaran model pertama bersama, ID. UNYX 08 iaitu sebuah SUV elektrik penuh bersaiz besar yang dibangunkan khusus untuk pasaran China.

Dibangunkan dalam tempoh hanya 24 bulan, model ini menjadi manifestasi strategi In China, for China, dengan gabungan kejuruteraan Jerman dan teknologi tempatan China yang semakin dominan dalam era kenderaan pintar (ICV).

Projek ini juga mencerminkan kepantasan pembangunan yang digelar sebagai China Speed.

Dibangunkan Pantas, Fokus Pasaran China

ID. UNYX 08 juga muncul sebagai SUV elektrik penuh pertama Volkswagen yang hadir dengan tahap kesalinghubungan penuh (fully connected), selain menjadi model sulung dalam generasi baharu kenderaan elektrik pintar jenama itu.

Keseluruhan pembangunan dari perjanjian hingga produksi disiapkan dalam hanya 24 bulan, sekali gus memperlihatkan keupayaan pembangunan pantas atau China Speed yang kini menjadi penanda aras dalam industri EV di China.

Selain itu, model ini dibangunkan sepenuhnya dengan fokus kepada keperluan pengguna tempatan, serta diintegrasikan secara mendalam ke dalam ekosistem China bagi memastikan keserasian teknologi dan pengalaman pengguna yang lebih relevan.

Platform 800V, Jarak Lebih 700 km

ID. UNYX 08 dibangunkan daripada seni bina 800V berasaskan silikon karbida (SiC), sekali gus menjadi model EV pertama Volkswagen global yang menggunakan konfigurasi tersebut.

Ia menyokong pengecasan ultra pantas serta menawarkan jarak gerakan melebihi 700 km (CLTC), dipadankan dengan penggunaan bateri daripada CATL sebagai standard.

Teknologi Pintar Hasil Kepakaran Xpeng

Aspek kecerdasan pula mempamerkan pengaruh kuat Xpeng dalam pembangunan sistem.

ID. UNYX 08 dilengkapi sistem bantuan pemanduan Xpeng VLA full-scenario dengan kuasa pemprosesan sehingga 1500 TOPS, sekali gus membolehkan keupayaan ADAS L2 termaju.

Satu lagi yang canggih SUV ini menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8295P dan pertama bagi model Volkswagen.

Dimensi Besar, Ruang Maksimum

Dari segi dimensi, ID. UNYX 08 tampil dengan ukuran 5,000 mm panjang, 1,954 mm lebar dan 1,672 mm tinggi, serta jarak roda 3,030 mm.

Saiz ini meletakkannya sebagai antara SUV terbesar dalam kelas, dengan fokus utama kepada ruang dalaman yang luas dan praktikal untuk pengguna China.

Pembangunan Tempatan & Seni Bina CEA

Pembangunan model ini turut melibatkan kerjasama rapat antara pusat R&D tempatan VW, termasuk Volkswagen Group China Technology Company (VCTC) dan CARIAD China, bersama Xpeng.

Selain itu, ketiga-tiga entiti ini juga membangunkan seni bina elektronik baharu dikenali sebagai CEA (China Electronic Architecture), yang bakal menjadi “otak” kepada generasi kenderaan VW baharu di China.

Permulaan Fasa Baharu Volkswagen di China

Dengan ketibaan ID. UNYX 08 ke pasaran pada separuh pertama tahun ini, VW menyasarkan untuk mempercepatkan penawaran kenderaan elektrik di China.

VW merancang untuk melancarkan sekitar 20 model tenaga baharu yang dibangunkan secara tempatan.

Menariknya, ID. UNYX 08 hanyalah permulaan dengan model kedua hasil kerjasama Volkswagen dan Xpeng juga dijadualkan diperkenalkan pada tahun ini.

Langkah ini menandakan hala tuju baharu VW dalam menyaingi pemain EV tempatan yang semakin agresif.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here