
BMW Motorrad India melancarkan model yang sangat dinantikan iaitu BMW F 450 GS dengan proses penghantaran bermula pada Jun 2026.
Model ini dibangunkan di Jerman oleh BMW Motorrad dan akan dihasilkan secara tempatan di India. Harga yang ditawarkan juga menarik dan satu kebiasaan untuk pasaran di sana.
Reka Bentuk Ikonik dan Ergonomik
Reka bentuk BMW F 450 GS mengekalkan falsafah GS yang rugged tetapi kemas melalui perkadaran kompak dan permukaan yang berfungsi.
Ciri utama yang menonjol pada bahagian hadapan ialah lampu LED penuh berbentuk X.
Garisan badan atau flyline yang berkarakter bermula dari bahagian paruh khas GS merentasi tangki hingga ke bahagian belakang yang ramping.
Bahagian paruh ini menggunakan campuran warna hitam manakala panel sisi mengikut warna badan serta perincian ‘tooth’ tipikal GS dengan kemasan Dime Silver metallic kusam.
Untuk keselesaan penunggang, motosikal ini dilengkapi pelana dua bahagian dengan ketinggian 845 mm sebagai standard.
Reka bentuk yang rata dan lurus menyediakan keadaan ergonomik ideal untuk dinamika tunggangan.
Tangki bahan api berkapasiti 14 liter direka untuk memberikan sokongan lutut yang optimum sama ada ketika duduk atau berdiri semasa pemanduan off-road.
Varian Base dan Exclusive tersedia dalam warna Cosmic Black manakala varian GS Trophy didatangkan dengan warna Racing Blue Metallic dengan aksen merah dan putih.
Enjin 420cc 2 Silinder
BMW F 450 GS dikuasakan enjin 420cc dua silinder sebaris sejukan cecair yang baru dibangunkan.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 48 ps pada 8,750 rpm dan tork maksimum 43Nm pada 6,750 rpm.
Satu ciri unik ialah aci engkol dengan offset 135 darjah yang memastikan pemanduan lancar dengan getaran yang minimum serta menghasilkan bunyi ekzos yang unik.
Kuasa dihantar melalui transmisi enam kelajuan menggunakan rantaian X-ring.
Antara ciri utama ialah Shift Assistant Pro yang membolehkan penukaran gear dilakukan tanpa klac dengan lancar.
Selain itu, Easy Ride Clutch (ERC) diperkenalkan buat pertama kali dalam segmen ini untuk mengautomasikan proses mula jalan dan berhenti tanpa risiko enjin mati.
Gabungan ERC dan Shift Assistant Pro menawarkan pengalaman tunggangan yang seakan automatik sepenuhnya.
Casis dan Kawalan Pemanduan
Motosikal ini menggunakan kerangka keluli tiub yang dikimpal dengan bahagian tempaan bersepadu untuk menggabungkan berat ringan dan kekuatan tinggi.
Suspensi hadapan menggunakan sepit udang teleskopik terbalik dengan kemasan warna emas.
Bahagian belakang menggunakan lengan ayun dua sisi aluminium tuang berongga dengan redaman progresif.
Fork bridge adalah jenis tempaan dan strut suspensi mempunyai prabeban dan redaman lantunan yang boleh dilaras.
Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal terapung di hadapan dengan angkup tetap 4-omboh Brembo berdiameter 310 mm.
Bahagian belakang menggunakan cakera tunggal dengan angkup terapung 1-omboh berdiameter 240 mm.
Roda aluminium tuang yang ringan tetapi kukuh dipadankan dengan tayar tanpa tiub bersaiz 100/90-19 di hadapan dan 130/80-17 di belakang.
Teknologi dan Keselamatan
BMW F 450 GS dilengkapi dengan paparan TFT 6.5 inci terbaik dalam kelasnya yang menawarkan keterbacaan optimum.
Skrin ini memaparkan maklumat terperinci seperti kawalan traksi, kuasa membrek dan sudut condong melalui paparan Pure Ride Screen dan Sport Screen.
Penunggang boleh memilih antara empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Enduro dan Enduro Pro.
Ciri keselamatan standard termasuk ABS Pro untuk membrek dengan selamat semasa di selekoh, Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Traction Control (DTC) dan Engine Drag Torque Control (MSR).
Kelengkapan lain termasuk soket USB-C, pemanas pemegang dan tuas tangan yang boleh dilaraskan.
Harga di India
BMW F 450 GS ditawarkan dengan harga pengenalan ex-showroom berikut:
- BMW F 450 GS (Base): INR 4,70,000 (RM19,688.30)
- BMW F 450 GS (Exclusive): INR 4,90,000 (RM20,526.10)
- BMW F 450 GS (GS Trophy): INR 5,30,000 (RM22,201.70)
Spesifikasi BMW F 450 GS 2026 India
- Enjin: 420cc 2 silinder sebaris, sejukan cecair, aci engkol 135 darjah
- Kuasa Maksimum: 48 ps @ 8,750 rpm
- Tork Maksimum: 43Nm @ 6,750 rpm
- Transmisi: 6 kelajuan dengan Shift Assistant Pro dan Easy Ride Clutch (ERC)
- Kerangka: Keluli tiub dikimpal dengan bahagian tempaan
- Suspensi Hadapan: Sepit udang teleskopik terbalik
- Suspensi Belakang: Lengan ayun dua sisi aluminium tuang, strut spring pusat dengan redaman progfresif
- Brek Hadapan: Cakera tunggal 310 mm, angkup tetap 4-piston Brembo
- Brek Belakang: Cakera tunggal 240 mm, angkup terapung 1-piston
- Tayar: 100/90-19 (Hadapan), 130/80-17 (Belakang), jenis tanpa tiub
- Tinggi Pelana: 845 mm
- Kapasiti Tangki: 14 liter
- Ciri Elektronik: Paparan TFT 6.5 inci, ABS Pro, DTC, DBC, MSR, 4 mod tunggangan, soket USB-C







































